Laman Utama
Netizen Tuduh Pengasas Produk Kecantikan Sengaja 'Show Off' Agih Sumbangan, Iddin Syah; "Bila Tak Buat Orang Persoal, Jadi Kita Tunjuklah!"
Tindakan usahawan produk kecantikan viral, Iddin Syah berkongsi sepotong videonya sedang menghulurkan sumbangan di bazar Ramadan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen di media sosial.
Didakwa sengaja menunjuk-nunjuk berbuat kebajikan, Iddin, 27, yang juga pengasas produk kecantikan ESW berkata niatnya hanya mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.
"Sebenarnya sebelum ini pun saya buat (derma) cuma tak tunjuk, kita buat sendiri-sendiri sahaja. Tapi bila tak buat orang mempersoalkan pula, jadi kita tunjuklah untuk beritahu kita pun ada beri sumbangan.
"Lagipun sekarang ini bulan Ramadan, tak salah saya kongsi rezeki dengan orang lain, mana la tahu dengan apa yang saya tunjuk itu mungkin boleh jadi contoh kepada orang lain.
"Saya dah biasa kena kecam tapi bila baca komen yang kata bukan-bukan itu sedikit sebanyak membuatkan saya kecil hati sebab mereka seolah-olah tak beri sokongan atas apa yang saya buat," katanya.
Menerusi sepotong video di TikTok, Iddin menyerahkan sumbangan kepada 500 orang pengunjung bazar Ramadan di Kuala Ketil, Kedah.
Dalam rakaman itu, orang ramai dilihat beratur panjang bagi mendapatkan bantuan berupa beras, biskut dan senaskah al-Quran.
Sementara itu, Iddin berkata tujuannya berkongsi rakaman video berkenaan adalah kerana mahu memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya usahawan muda.
"Ini bukan kali pertama, tahun lalu saya viral sebab borong makanan peniaga bazar yang tak habis dijual… itu pun kena kecam!
"Apa yang saya kongsi ini sekadar nak beri inspirasi kepada orang lain terutamanya peniaga muda supaya mereka pun berminat nak hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Sekarang ini ramai orang susah, tak salah kita bantu-bantu. Lagi pun laman sosial saya banyak golongan muda, sekurang-kurangnya bila mereka tengok bolehlah jadi inspirasi nak membantu orang lain,” ujarnya.