HIBURAN
Ning Baizura Hampir Bersara, ‘To Know Me’ Sepatutnya Karya Terakhir - “Terlalu Banyak Dugaan Yang Saya…”
Penyanyi Ning Baizura mendedahkan bahawa dia hampir membuat keputusan untuk bersara dari dunia seni.
Menurut pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu, lagu To Know Me sepatutnya menjadi karya terakhirnya.
Namun, peluang untuk menyertai Gegar Vaganza 11 (GV11) telah membuka lembaran baru dalam karier seninya, seolah-olah memberikannya peluang kedua.
“Sebenarnya, saya hampir mahu meninggalkan dunia seni. Dalam fikiran saya ketika itu, mungkin dengan karya ini peminat akan lebih memahami perjuangan saya dalam bidang seni.
“Saya lemah dan hampir berputus asa kerana terlalu banyak dugaan yang saya hadapi. Semasa saya disalahertikan, saya hanya mampu berserah. Jadi, apabila mendapat inspirasi ini, saya benar-benar dedikasikan lagu ini khas buat peminat setia saya,”katanya.
Pada masa yang sama, Ning atau nama lengkapnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, turut berterima kasih kepada para peminat serta memohon maaf sekiranya pernah melukai hati mereka.
“Terima kasih kerana menyayangi saya.
“Kepada yang masih tidak mengenali saya, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk anda. Semoga ukhuwah kita berkekalan. MasyaAllah, Tabarakallah, Syukur Alhamdulillah.
"Hanya Allah yang tahu perasaan saya sekarang. Saya sangat menghargai anda semua dan mohon maaf jika pernah mengguris hati atau tersilap kata,” tambahnya.
Ning turut berkongsi sebab lagu To Know Me dinyanyikan dalam dwibahasa. Menurutnya, dia mahu penceritaan dalam lirik dapat difahami oleh semua orang, termasuk keluarga sebelah suaminya, Omar Shariff Christopher Layton Dalton.
Kini, lagu To Know Me sudah boleh didengari di semua platform penstriman. Karya terbaharu ini merupakan hasil ciptaan penuh Ning Baizura sendiri.
Must-Watch Video