Hiburan
"Orang Melayu Suka Dengki, Rasa Diri Betul" - Fathia Latiff
"Saya tak sakit," demikian tegas pelakon Fathia Latiff yang menafikan tuduhan segelintir pihak bahawa dirinya kini sedang dalam fasa 'sakit'.
BERITA TRENDING: “Tudung Tak Wajib, Pakai Timba Dekat Kepala Pun Boleh, Janji Tutup Aurat” - Fathia Latiff
Menjelaskan perkara itu, Fathia meminta orang ramai agar tidak terus meletakkan pelbagai label pada dirinya dan menafikan hak untuk dia berkongsi apa sahaja di media sosial.
"Kepada peminat, keluarga, sahabat, stalker dan homofobia, saya sudah penat orang anggap saya 'sakit'.
"Saya boleh saja mengambil tindakan terhadap individu yang bercakap sedemikian kepada saya tapi saya tak nak sebab ada banyak lagi perkara lain yang saya boleh buat, dan ia tidak menjejaskan saya pun.
"Perkara paling utama adalah malu yang keluarga saya tanggung, ini kehidupan saya dan pilihan yang saya mahukan.
"Tak kisahlah baik atau buruk, tiada kena mengena pun dengan kalian. Tak kisah saya selebriti, pengemis atau jutawan sekali pun, nampak gayanya pihak berkuasa negara saya yang berat sebelah dan lemah.
"Saya tidak perlu menjelaskan, membuktikan atau memberitahu sesiapa apa dan tidak yang perlu saya post di media sosial," jelasnya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Dalam pada itu, Fathia menyifatkan terlampau ramai individu yang berfikiran negatif di negaranya dan hal itu memalukan.
"Terlampau banyak negativiti di negara saya sendiri dan ramai individu berfikiran negatif yang sentiasa memfitnah saya. Berhenti menyalahkan orang dan sentiasa melihat diri dan keluarga sendiri. Cukup-cukuplah!
"Seperti yang selalu bapa saya katakan, orang Melayu ni suka dengki, fikir bukan-bukan dan rasa diri tu betul. Membuatkan saya sedar bahawa itu sangat menyedihkan.
"Situasi itu memalukan memandangkan pengikut saya pun dari pelbagai negara seluruh dunia termasuklah Jepun, Korea Selatan, Kanada dan sebagainya. Semoga Tuhan melindungi kita semua," tambah Fathia lagi.