Laman Utama

"Pelanggan Suka Panggil Saya Mama..." - Dari Juru X-Ray Kini Jutawan Kek! Siapa Mamasab Sebenarnya?

Amri Hassan
06/09/2022
02:13 MYT
Sponsor Banner
"Pelanggan Suka Panggil Saya Mama..." - Dari Juru X-Ray Kini Jutawan Kek! Siapa Mamasab Sebenarnya?
Hanya dengan menjual kek, siapa sangka wanita ini mampu mencipta fenomena dan bergelar jutawan.
Siti Noor Sabrina Soobri atau Sabrina asalnya bekerja sebagai juru x-ray selama sedekad di sebuah kolej perubatan sebelum terlintas memulakan perniagaan sendiri.
Minat menyediakan pastri antara titik tolak awal kepada minatnya mencetuskan perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd.
Bermula dengan berniaga di rumah secara kecil-kecilan di Taman Medan, Petaling Jaya (PJ), jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.

Sabrina Bakery tukar jadi Mamasab

Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151,000 ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpengkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.
"Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan combo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.
"Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.
"Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar," katanya.
Sabrina ditemui di majlis Mamasab Grand Award 2021 bagi meraikan ejen dan pelancaran inisiatif Mini Hub oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun 7 Ogos lalu.

Asal usul nama Mamasab

Kata Sabrina, nama perniagaannya terbit hasil hubungan baik dengan ejen.
"Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.
"Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.
"Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan," katanya.

Cabaran jualan merudum masa pandemik

Katanya lagi, pandemik COVID-19 dua tahun lalu turut membantutkan perniagaannya.
"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, memang jualan merudum. Hingga ejen saya terganggu emosi dan berdepan isu kesihatan mental. Ketika itu, sebagai ibu, saya beri sokongan moral kepada ejen supaya lebih kreatif.
"Saya memberi dorongan di saat ejen berada di tahap paling bawah dalam hidup mereka," kata wanita kelahiran Hulu Selangor itu.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata ini lagi, sebagai pengasas produk dia perlu sentiasa kreatif dan inovatif.
"Lalu terhasillah inisiatif mewujudkan sistem mini hub untuk berniaga secara offline. Selama ini termasuk waktu PKP, perniagaan 100 peratus berpaksikan dalam talian.
"Tapi saya sedar ada ejen yang tidak pandai berniaga secara online. Ada yang segan nak buat lintas langsung atau bercakap depan kamera. Pendek kata skil mereka terbatas.
"Mini hub ini membantu ejen saya berniaga offline dan ia sebagai alternafif. Mini hub ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja," katanya.

Marketing zero cost!

Dalam pada itu, Sabrina berkata selama ini perniagaannya berpaksikan pemasaran dengan 'zero cost'.
Namun, kini jenama itu berfikir perlu melaburkan wang untuk terus meningkatkan jualan termasuk menaikkan papan iklan di sepanjang lebuh raya.
"Dalam usaha untuk terus terbang tinggi, kena laburkan sejumlah wang. Pemasaran dengan 'zero cost' sudah tidak relevan lagi terutama selepas era pandemik.
"Kami perlu melakukan sesuatu untuk 'boost' jualan. Justeru, kami menaja 30 papan iklan bagi master stokis terpilih. Tapi secara keseluruhan ada lebih 200 papan iklan akan dinaikkan bermula hujung bulan ini secara berperingkat.
"Papan iklan ini bukan sekadar dihiasi wajah saya. Tapi wajah ejen juga akan menghiasi papan iklan. Saya percaya kena ada gabungan pengasas dan ejen sebegitu untuk berjaya. Tak boleh muka pengasas saja yang glamor, ejen pun perlu diketengahkan.
"Saya sendiri nak galak ejen ke depan, supaya mereka sendiri boleh menjadi pengasas produk di bawah rangkaian jenama kami. Saya 'treat' mereka lebih daripada itu. Insya-Allah menjelang 2025, kita nak capai sasaran jualan RM1 bilion " katanya yang berjaya menghasilkan jualan sebanyak 162 juta ringgit pada tahun 2021.

Ejen dari background hebat-hebat

Membanggakan, ejen jenama ini bukan calang-calang orang. Malah ada di antara mereka yang asalnya bekerja dalam bidang profesional seperti doktor, pegawai bank dan sebagainya.
"Jadi ejen pun boleh berjaya. Ramai sudah membuktikannya saat bersama perniagaan taklukan saya," katanya.
Serentak pada majlis berlangsung, seramai 91 ejen menjadi penerima anugerah kerana berjaya meraih lebih RM1 juta jualan ke atas.

Doktor kanak-kanak

Mohammad Norhelmi Razali yang menjadi salah seorang penerima anugerah asalnya bergelar doktor kanak-kanak, namun membuat pusingan 'u' menyertai jenama itu sejak 2019.
"Kemuncak kepada minat saya dalam dunia perniagaan ini apabila bertemu Mamasab. Saya berhenti bekerja profesional dan kini sepenuh masa bersama jenama itu," kata Norhelmi.
Manakala Nursyamimi Ramli pula menyertai sepenuh masa dengan perniagaan jenama terbabit sejak 2020.
"Awalnya saya berniaga sambilan akhir 2017. Masa itu saya masih bekerja di bank. Beberapa bulan sebelum pandemik menjelma, saya berhenti kerja bank dan sepenuh masa berniaga.
"Pendapatan saya peroleh dari berniaga lebih lumayan dari berkerja di bank. Saya anggap percaturan itu tepat. Mamasab layan ejen pun sangat jelas dengan misi, visi dan hala tujuannya. Syukur kerja keras saya berjaya meraih jualan RM32 juta tahun lalu," kata Nursyamimi.
Boleh berkunjung ke cawangan berdekatan atau hubungi ejen berdaftar Mamasab. Ikuti Facebook (FB) Mamasab Bakery Malaysia, Instagram (@mamasab.bakeryofficial) dan layari www.mamasab.com.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar