Hiburan
Perbezaan Markah Tipis Dengan Sutera, Ini Antara Keistimewaan Lagu Hasrat - “Naskhah Yang Terngiang-Ngiang…”
Ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Datuk Mokhzani Ismail menyifatkah Hasrat berada di satu tahap lebih tinggi berbanding lagu lain.
Menurut Mokhzani, Hasrat memiliki sesuatu yang istimewa dalam garapan lirik dan juga melodinya.
“Mencipta lagu 'major' sangat sukar. Kalau dulu kita ada beberapa lagu 'major' seperti lagu Yuna. Malam AJL38 ini, Hasrat adalah satu ciptaan lagu 'major' yang berkualiti. Kita dapat rasakan sesuatu.
“Itu yang juri dapat lihat, bukan bermakna lagu lain tak bagus tetapi Hasrat berada di satu tahap yang lebih tinggi daripada lagu lain.
“Dia keluar dengan naskhah yang terngiang ngiang maksudnya lagu itu senang dinyanyikan, 'catchy' tetapi berada dalam kedudukan terbaik daripada segi garapan melodi dan liriknya.
“Ditambah pula dengan iringan orkestra menjadinya lebih baik. Jadi, kesemua juri bersepakat dan setuju diletakkan di tempat yang paling atas,” jelasnya.
Mokhzani berkata demikian dalam sidang media selepas AJL38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
BERITA TRENDING: “Banyak Masuk Pertandingan Tapi Tak Pernah Ada Nombor Pun…” - Amir Jahari Terkejut Dinobat Juara AJL38
Bagaimanapun kata Mokhzani, terdapat perbezaan tipis antara markah yang diberikan kepada Hasrat dan juga lagu di tempat kedua iaitu Sutera nyanyian Aisha Retno.
“Markahnya tidak jauh berbeza dengan lagu Sutera yang datang dengan satu dimensi muzik baharu iaitu EDM, yang membawa satu suntikan baharu dalam industri muzik.
“Untuk lagu Jangan Mati Rasa Itu pula, sudah tentunya Aina Abdul datang dengan pakej yang hebat.
“Tetapi dia berada di kedudukan sedikit bawah dari lagu Hasrat dan Sutera. Kami semua yakin dengan keputusan ini," jelasnya.
Selain Mokhzani, kerusi juri turut diisi oleh barisan juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, Datuk Acis, Azlan Abu Hassan, Jari, LY, Noryn Aziz, Ad Samad, Edry Arwis dan Adlin Aman Ramli.
Terdahulu, Hasrat ciptaan sepenuhnya Amir diumumkan sebagai juara AJL38 dan menewaskan 11 lagu lain yang bertanding.
Kemenangan itu membolehkan Amir membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.