Hiburan
“Satu Budaya Yang Teruk!” - Shuib Harap ‘Cyberbully’ Dihentikan, Dedah Arwah Siti Sarah Juga Pernah Jadi Mangsa
Berita mengenai seorang pempengaruh di aplikasi TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber mendapat perhatian semua pihak.
Hentikan Buli Siber
Sebagai orang yang sentiasa menerima komen negatif di laman sosial, pelawak dan usahawan Shuib berharap budaya buli siber yang dilihat semakin berleluasa di Malaysia dihentikan sebelum menjadi semakin melarat.
“Buli siber perkara yang sangat serius, jika dulu kita lihat banyak berlaku di luar negara tapi sekarang terjadi dalam negara. Masalah siber di Malaysia saya lihat semakin berleluasa dan menjadi satu budaya.
"Trend sekarang apabila ada sahaja cerita mengenai artis, netizen akan pergi Instagram artis dan komen 'standby popcorn, like tanda hadir, dah mula ke belum'. Itu adalah satu budaya yang teruk. Saya juga salah satu mangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Kematian Pencipta Kandungan Akibat Buli Siber, Fahmi Fadzil Luah Rasa Kecewa
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen Persoal Aneh Bawa Optimus Prime & Bumble Bee Atas Pentas, JAKIM Tampil Beri Penjelasan Konsep Persembahan Khas Sambutan Maal Hijrah
"Begitu juga yang terjadi ketika isu perniagaan saya lambat dua hari bayar gaji. Macam netizen tahu sangat apa yang saya lalui, macam mereka duduk dalam kasut saya.
“Kalau mereka di tempat saya pasti mereka tak akan berkata yang bukan-bukan. Tidak adil untuk menilai orang lain tanpa kesahihan. Tolong berhenti budaya siber buli yang kebanyakkan orang Melayu.
“Mungkin ada orang yang boleh hadap, kalau tak boleh hadap boleh jadi teruk sehingga ada kes bunuh diri,” kata Shuib kepada Gempak ketika ditemui pada majlis sidang media Dol's Podcast yang berlangsung di The Curve, Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dihukum Ikut Undang-Undang
Berkongsi mengenai pengalamannya, bapa kepada empat cahaya mata ini memberitahu pembuli siber perlu dihukum mengikut undang-undang dan diberi pengajaran agar mereka menyesali perbuatan tersebut.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 39, berkata, pembuli siber hanya berani menyembunyi di sebalik media sosial dan sesuka hati menilai serta menjatuhkan hukum ke atas diri seseorang tanpa usul periksa.
"Inilah permainan dalam media sosial, mereka hanya berani ketika menulis, paling pandai, paling gah, paling tahu semua perkara, tetapi bila dah jumpa depan-depan tahu pula tunduk kepala ke bawah dan mohon maaf.
"Keluar ayat 'tolonglah, mak saya sakit, anak tak sihat'. Itu yang saya lalui ketika kes saya sebelum ini. Masa dekat mahkamah baru tahu erti penuh penyesalan. Masa buat itu rasa seronok dan hadap 'likes' dan 'views'.
“Depan hakim dalam mahkamah mengaku bersalah. Ini semua maruah dan air muka orang, selagi mana komen itu tidak di padam dalam media sosial sampai mati akan ada dekat situ,” ujarnya.
Arwah Sarah Jadi Mangsa
Sementara itu, Shuib turut mendedahkan arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah pernah menjadi mangsa buli siber sehingga menyebabkan tekanan dan stress.
"Dulu saya ingat lagi, arwah Sarah sampai terkena anxiety dan stress disebablan masalah siber buli. Kadang kala memang diri kita ada tersilap cakap dan kemudian sudah minta maaf, tetapi netizen seperti tiada ampun.
"Kalau terkena pada batang hidung sendiri atau adik beradik mereka pula macam mana? Tolong berhenti kerana itu bukan budaya masyarakat kita. Kalau nak teruskan budaya itu, kesian dengan hidup awak,” katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh di aplikasi TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.
Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu.