Hiburan
"Saya Terlalu Sibuk!" - Amir Masdi Tak Sempat Fikir Fasal Cinta, Hanya Fokus Kerja Sahaja
Penyanyi Amir Masdi menjelaskan bahawa dia tidak memberi fokus kepada mencari pasangan hidup sebaliknya hanya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengembangkan kerjaya.
Jelas Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, 27, kesibukan bekerja juga menjadi salah satu faktor tidak punyai ruang masa memikirkan soal jodoh.
"Bagi saya, sekarang ini saya masih tidak mahu ada lagi kekasih hati sebab saya mahu fokus kepada album saya dulu.
"Saya pun terlalu sibuk siapkan lagu-lagu saya siang dan malam, ada persembahan, kerja di pejabat juga saya buatkan. Macam semua tahu, perbelanjaan saya semuanya sendiri dan semua benda yang saya buat pun sendiri saja”, katanya kepada Gempak ketika menghadiri Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Amir juga memberitahu dirinya kini lebih suka berkawan dengan sesiapa sahaja dan tidak terlalu memikirkan jika ada yang cuba mendekatinya.
“Jadi, daripada situ saya terfikir, kalaulah saya ada teman wanita pun, saya rasa pada ketika itu bukanlah masa yang terbaik sebab sekarang ini saya betul-betul nak fokus kepada kerja saya.
“Saya ni jenis yang berkawan dengan semua orang. Saya tidak tahu la kalau ada orang tu cuba untuk dekati saya atau tidak. Kalau berkawan itu ada," ulasnya yang mungkin akan mencari pilihan hati selepas jelajah album terbarunya tamat.