Penyanyi, Amir Masdi mendedahkan yang dia pernah mengalami detik yang memeritkan ketika mula-mula bergelar penyanyi.

Amir berkata, dia pernah tidak mendapat bayaran selepas mengadakan persembahan selain terpaksa berbohong dengan kedua ibu bapanya.

"Ini saya tidak pernah ceritakan, malah kedua ibu bapa saya tak tahu pun. Masa awal-awal selepas habis buat persembahan saya akan tanya pengurus berapa dibayar, dia cakap tidak ada. Ketika itu saya fikir macam inikah nasib penyanyi yang mana bersusah payah menyanyi tapi tidak ada bayaran.

A post shared by AM (@amir.masdi)


"Malah, saya masih Ingat lagi selepas habis AF, pergi sana sini nyanyi banyak lagu, tapi percuma saja. Waktu itu saya cakap pada diri, ini adalah platform untuk saya cari pengalaman dan memperbaiki diri. Ini adalah ujian, saya ambil sebagai halangan yang perlu hadapi. Mungkin masa itu saya dapat pengalaman dan pendedahan, dan ia betul.

"Apa yang sedihnya, balik rumah mak ayah gembira sebab saya ada 'show' dan mestilah mereka fikir dapat bayaran. Kalau mereka tanya, saya hanya cakap ada. Dalam hati saya sendiri yang tahu. Saya tidak mahu mereka risau. Jadi, saya pendam saja," katanya pada program SYOK Podcast - Confession Bilik Gelap Musim Keempat.

Menurutnya, dia juga pernah tidur di studio semata-mata mahu mengaburi mata kedua ibu bapanya yang mana dia sibuk bekerja dan banyak tawaran menyanyi.

"Ketika saya tidak ada bayaran, masa itu tidur di studio. Saya ikut pengurus pergi jumpa orrang berpengalaman dalam industri. Pendek kata saya banyak luangkan masa di studio untuk elak ditanya oleh mak ayah.

"Lagi satu saya tidak mahu terkurung di rumah dan menganggu fikiran yang saya tidak ada kerja. Jadi, saya memilih untuk berada di studio agar kelihatan sibuk dan banyak kerja. Pendek kata, saya sebenarnya sibukkan diri untuk kaburi pandangan keluarga. Tetapi dalam masa sama, di studio saya nak dptkan pendedahan dan belajar banyak perkara berkaitan muzik," katanya.

Untuk rekod, Amir sudah dua kali menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu menerusi lagu Kau Sakiti pada AJL35 dan Debu duet bersama Dayang Nurfaizah pada AJL37.

Selain itu, Amir juga menjadi Naib Juara pada program The Masked Singer Malaysia Musim
Kedua.

Lebih membanggakan juga, Amir berjaya melancarkan album sulungnya berjudul Amir Masdi tahun lalu serta mengadakan siri jelajah album itu di seluruh negara.

BERITA TRENDING: Siri Jelajah Album Amir Masdi Sukses! - "Crowd Sporting, Semangat Mereka Jadi Aura..."