Laman Utama

SCREAM 2022 : Requel Fanatik Toksik, Dihasilkan Untuk Pencinta ‘Scream’ #PopcornTime

Gempak
24/01/2022
15:39 MYT
Sponsor Banner
SCREAM 2022 : Requel Fanatik Toksik, Dihasilkan Untuk Pencinta ‘Scream’ #PopcornTime

SCREAM 2022. Akhirnya, menenggelamkan gundah pencinta-pencinta filem genre slasher, terutamanya pencinta-pencinta francais Scream yang barangkali mendewasa bersama Scream sewaktu mula ditayangkan pada tahun 1996 atau pencinta-pencinta horror secara umumnya.

Ternanti-nanti mereka setelah puas menonton jangkaan di Youtube, iklan acah serta trailer.

Tidak lagi berteka-teki atau menyesatkan akal mereka untuk mempertimbangkan sama ada Scream 2022 sebagus Scream yang lebih dua dasawarsa yang lalu atau tidak (lebih senang dipanggil Scream 2022, kerana ia bukan Scream 5).

Apakah Scream 2022 berjaya membuatkan punggung kita tidak beranjak dari kerusi panggung seraya mengeratkan mata untuk tidak terlepas daripada menonton setiap babaknya?

Untuk mengetahui siapa dalangnya dan apa pula motif kali ini?

Sejujurnya… ya. Apakah pengarah duo baharu yang menggantikan mendiang Wes Craven, yakni Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett daripada team pengkarya filem Radio Silence yang menghasilkan filem Ready Or Not, beroleh kemenangan setelah menghasilkan filem but semula Scream? Tidak mustahil.

Scream 2022 adalah requel. Requel adalah satu terma baharu disebut oleh watak bernama Mindy (lakonan Jasmin Savoy Brown) dalam Scream 2022 yang mencerminkan konsep filem yang pada dasarnya menggabungkan susulan, prequel dan but semula.

Requel ‘menjemput’ semula watak-watak legasi untuk dipertemukan dengan watak-watak baharu.

Jalan ceritanya masih bersangkut paut dengan tema yang terdahulu dan ada kena-mengena dengan watak-watak sebelum-sebelumnya.

Cuma ia berubah dari aspek pembaharuan material, watak-watak generasi baharu, matlamat yang digubah dalam rangka yang mungkin senada dengan selera masa kini dan terkadang plotnya ditukar atau dikembangsuburkan.

Namun, jalinan ceritanya masih lagi berputar ke watak-watak legasi, konsep yang sebelum-sebelumnya dan membuatkan audiens mengunjungi semula francais dahulu.

Sama seperti Halloween 2018 yang masih ada kena mengena dengan Halloween pada tahun 1978 atau Jurrasic World yang mengangkut kita ke Jurassic Park pada tahun 90an.

Malah francais Star Wars pun, yang tidak mengambus terus siri Star Wars tahun 70an. Jadi, begitu jugalah Scream 2022.

Selain ‘menanam’ easter eggs dan mengetahui bahawa Kirby Reed masih hidup, apakah yang menariknya lagi fasal requel Scream yang baharu ini?

APRESIASI BUAT MENDIANG WES CRAVEN

#ForWes. Tanda pagar yang menjadi promosi utama filem Scream 2022.

Risiko yang diambil oleh Bettinelli-Olpin dan Gillett untuk mengolah semula Scream agak tinggi.

Apalagi untuk memenangkan hati pencinta-pencinta francais Scream. Mereka berdua sedapat mungkin tidak mahu mematikan legasi dan kreativiti Craven.

Dalam kotak fikir Bettinelli-Olpin dan Gillett, mereka tetap mahu menghasilkan Scream 2022 mengikut selera mereka sendiri, tetapi pada masa yang sama masih ada lagi cita rasa Craven.

Misalnya, pembabakan ceritanya yang ada ‘turun naik’ dengan plot terbahagi kepada senario huru-hara yang sepertikan tidak bernoktah, kemudiannya tersisip drama, ada comedic relief, ada satira dan ada komentar sosial sesuatu yang diolah oleh Craven sewaktu menghasilkan Scream yang dahulu.

Scream 2022 mengutuhkan tradisi francais Scream dengan babak permulaan opening kill yang seakan-akan mereplikakan babak pembukaan watak Casey Baker (lakonan Drew Barrymore) dalam Scream 1996.

Kemudian ada babak second kill, babak penyiasatan dan berakhir dengan act three di sebuah parti.

Bettinelli-Olpin dan Gillett malah sengaja mewujudkan salah seorang watak bernama Wes (lakonan Dylan Minnette) yang melahirkan tanggapan di kalangan audiens bahawa ia adalah satu penghormatan buat Craven.

Selepas watak Wes dibunuh, Scream 2022 diakhiri oleh babak kemuncak di sebuah parti untuk memperingati Wes yang secara halusnya bertujuan untuk menyanjung Craven.

TIDAK MENYINGKIR TEMA SERTA KONSEP SLASHER WHODUNNIT, SEDAR KENDIRI & THROWBACK

Dalam usaha meneruskan legasi Craven, Scream 2022 patuh kepada ‘disiplin’ filem genre slasher.

Dalam babak opening kill, ketika watak Tara (lakonan Jenna Ortega) menyebut ‘elevated horror’, apa yang berbegar di dalam kepala penulis adalah barangkali Scream 2022 beralih arah menjadi ‘elevated horror’.

Contohnya, seperti filem Get Out yang lebih kepada drama dan tidak begitu banyak aksi ganas bunuh-membunuh.

Atau barangkali plot Scream 2022 menjadi progresif (seperti filem Hereditary) dan mendedahkan bahawa dalang-dalangnya adalah sekelompok kultus yang taasub dengan Ghostface atau pembunuhan Woodsboro.

Namun, tidak. Team Radio Silence ini masih lagi mengekalkan genre slasher-whodunnit, sebagaimana selera Craven.

Ia tetap berhujung dengan kejutan pendedahan dua orang pembunuh, penjelasan tentang motif pembunuhan dan berkaitan dengan francais filem horror.

Tetapi kali ini, motif pembunuhan adalah juga kena-mengena sedikit dengan ketaasuban yang mendedahkan dua orang pembunuhnya adalah peminat fanatik toksik yang berkenalan di subreddit, terlalu taasub dengan filem Stab dan mahu ‘menghidupkan’ plot filem Stab yang baharu.

Scream 2022 juga tidak lupa memperlihatkan tendensinya dalam memelihara tema meta-horror atau sedar kendiri yang amat signifikan dalam francais Scream.

Ia menyandiwarakan sekali diskusi di kalangan watak-wataknya tentang kehidupan realiti mereka mendepani pembunuh itu seumpama sebuah fiksyen horror si peminat fanatik dan si dalangnya menjadikan Samantha (lakonan Melissa Barrera) sebagai bintang utama.

Lantaran itu, konsep ‘elevated horror’ disebut berkali-kali, seterusnya menyamakan apa yang berlaku adalah kononnya adalah sebuah requel dan mereka merencanakan satu-persatu peraturan filem horror seandainya mahu mencari siapa pembunuh.

Banyak rujukan serta perihal filem horror dalam Scream 2022 yang mengumpan daya intelek audiens.

Contohnya Samantha merujuk kepada babak klise filem horror sebagai peringatan buat teman lelakinya agar menyelamatkan diri daripada pembunuhan di Woodsboro dan berolok-olok dengan ucapan “I’ll be right back” – menurut peraturan Scream tahun 1996, dalam mana-mana filem horror, sesiapa sahaja yang mengucapkan “I’ll be right back” pasti menjadi mangsa bunuhan.

Selain itu, filem ini juga secara nyata mengulang sejarah dengan membuat perbandingan dan merawat ingatan peminat-peminat Scream kepada babak-babak ikonik dalam trilogi Scream terdahulu.

Seperti babak Mindy diserang sewaktu dia sedang leka menonton filem horror di atas kerusi panjang yang begitu ketara mengulang semula babak Randy Meeks diserang pembunuh dalam Scream tahun 1996 ; babak Wes serta ibunya dibunuh di dalam rumah yang mengingatkan kita pada babak Cici Cooper dan Olivia Morris dibunuh dalam Scream 2 juga Scream 4 ; babak Chad (lakonan Mason Gooding) dalam keadaan tidak berdaya mengesot di tepi rumah lalu muncul sebuah kereta yang tiba di perkarangan rumah yang seakan-akan ‘menyalin’ babak Casey Baker dan babak finale mengangkut kita ke rumah Stu Macher yang merupakan babak finale dalam Scream tahun 1996.

Sudah tentu Scream 2022 tetap memadukan sekali aspek mengimbangkan yang logik dan yang tidak logik.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘tidak logik’ adalah sengaja mengolah babak-babak yang dianggap ‘tidak masuk akal’ kerana mahu mencerdikkan audiens sehingga berinteraksi dengannya.

Just like how we would when watching a B-grade 80’s slasher movie.

Seperti babak serangan di hospital yang tiba-tiba kosong dan tiada staf hospital lain, yang membikin audiens berhubungan dengan filem tersebut dengan kononnya berkata, “Bodohnya. Takkan takde nurse masa tu?!”

Atau babak salah seorang watak turun ke storan bawah tanah yang gelap yang membuatkan kita sebagai audiens berasa, “Lagi nak turun bawah sorang-sorang.”

YANG BAHARU BERTEMU DENGAN THE ORIGINAL

Selepas 25 tahun, jurang generasi yang jauh berbeza ini membangkitkan kebarangkalian bahawa genre slasher adalah trend horror yang sudah usang.

Apa yang menjadi persoalan adalah apakah filem Scream yang pembunuhnya bertopeng Ghostface ini akan ada tempat di hati audiens generasi masa kini?

Namun (terima kasih kepada trend siri, Netflix dan konsep requel), tanggapan tersebut mungkin bisa ditepis. Lihat sahaja bagaimana Netflix menayangkan filem-filem slasher generasi baharu seperti trilogi Fear Street, Nobody Sleeps In The Woods Tonight atau siri-siri horror seperti Chucky di saluran Syfy yang kiranya ‘menyelamatkan’ genre slasher.

Scream 2022 sama sahaja seperti Scream 4 yang mengumpul pelakon-pelakon baharu dengan pelakon-pelakon lama trio Scream.

Cuma kali ini, Scream 2022 adalah sebuah cereka selepas lebih dua dasawarsa dan apa yang dihidangkan kepada audiens adalah perbezaan jurang generasi yang sangat berbeza : the original trio dari era 90an bersua muka dengan barisan pelakon baharu daripada sekumpulan Gen-Z.

Secara peribadinya, Scream 2022 dianggap menarik kerana ia menyingkap kisah bagaimana the original trio – watak Sidney, Dewey dan Gale (lakonan Neve Campbell, David Arquette dan Courteney Cox) – menyesuaikan diri mereka dengan senario pembunuhan di Woodsboro berupa sebuah requel peminat fanatik, yang menjadi kemahuan konsep filem-filem masa kini.

Tanpa disedari mereka bertiga adalah watak legasi yang berada di dalam fiksyen requel peminat fanatik tersebut dan terpaksa meminta bantuan barisan Gen-Z ini yang ada ilmu tentang requel.

Jadi, dalam pada menghormati Craven serta kecintaan peminat-peminat terhadap genre slasher, Scream 2022 turut peka terhadap kehendak selera masa kini.

Bettinelli-Olpin dan Gillett bijak dalam bagaimana mereka menjalinkan sesuatu yang bersifat legasi atau original dengan sesuatu yang sangat baharu, masakan ia tidak memberi kesan kepada pencinta-pencinta Scream generasi sebelumnya dan audiens generasi sekarang.

Ia menimbulkan rasa seronok kerana memperlihatkan dinamik dua generasi yang jauh berbeza dengan aksi masing-masing bertukar-tukar idea, saling bercanggah tetapi akhirnya seia sekata dalam menyelesaikan misteri pembunuhan.

Akhir sekali, sejujurnya filem Scream 2022 ini sememengnya dihasilkan oleh pencinta-pencinta horror kepada si pencinta horror dan pencinta francais Scream. Atau tidak mustahil juga khusus buat si movie buff.

Pesan penulis kepada mereka yang bukan pencinta horror pula, terutamanya yang datang menonton wayang sekadar untuk mengisi masa lapang, tidak ada sebarang ilmu tentang filem horror dan suka menyoal adakah filem horror ‘sekian-sekian’ ini mengerikan seperti filem-filem horror lain : mungkin Scream 2022 bukan filem untuk kamu.

Seandainya mahu tonton pun, tonton dengan hati yang terbuka.

Ingat, jangan samakan ia dengan filem horror lain seperti Get Out, Us malah The Conjuring. Kerana genre Scream adalah slasher.

So… don’t expect too many jump scares or some little ghost-girl.

Teks: Ardi Idewani

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar