Hiburan
"Sendu? Tak Boleh Pukul Rata Semua Selebriti... Kami Pun Perlu Berehat" - Suki Low
Penyanyi Suki Low tampil memberi respon terhadap dakwaan dirinya semakin kurang popular (sendu).
Jelas Suki, perkataan sendu itu sendiri tidak sesuai untuk menggambarkan tahap populariti seseorang artis.
"Apa sebenarnya maksud sendu? Saya rasa sebenarnya perkataan sendu ini merujuk kepada sedih tau. Peminat perlu memberikan ruang kepada selebriti.
"Setiap selebriti mempunyai kehidupan masing-masing. Menyanyi juga sebahagian dari kehidupan kami tapi bukan semua kehidupan kami perlu dipaparkan. Bila kami sebagai selebriti mahu rehat sebentar dari industri, izinkanlah kami.
"Bagi saya perkataan ‘sendu’ itu tidak boleh digunakan untuk semua selebriti. Ada kalanya, kami perlukan ruang untuk berkarya dan ada kalanya kami perlukan ruang untuk bersama dengan keluarga kami, bukannya kami menghilangkan diri," katanya kepada Gempak.
Menyangkal definisi 'sendu', Suki mendedahkan dirinya bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi.
"Lepas GV, saya memang agak sibuk dengan jemputan persembahan. Saya juga berpeluang untuk merakamkan tiga single terbaharu saya dan single terbaharu saya akan keluar pada bulan September ini.
"Kelainan single saya kali ini adalah saya bakal nyanyikan dalam dua bahasa iaitu, dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina.
"Saya harap saya akan terus berkarya untuk terus membuat persembahan kepada semua peminat saya," ulasnya.
Sekadar info, Suki pernah menyertai pertandingan All Stars Gegar Vaganza (GV10) namun tersingkir pada minggu kedua.