Laman Utama
“Siapa Kata Anak-Anak FELDA Tak Boleh Berjaya?” - Siti Nordiana Puji Pengisian Dalam Gemencheh Boys
Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mendedahkan yang dia berasa teruja untuk menyaksikan filem yang sedang meraih perhatian ramai, Gemencheh Boys.
Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, sungguhpun keinginan untuk menonton filem arahan Jason Chong itu sangat tebal, namun, dia masih belum sempat untuk meluangkan masa ke pawagam atas kekangan masa dan jadual penglibatannya di All Stars Gegar Vaganza.
BERITA TRENDING: “Cukup Rasa Dan Rempah” - Penonton Kagum Dengan Gemencheh Boys!
“Sebenarnya saya masih belum berkesempatan untuk menonton Gemencheh Boys sebab saya sedang sibuk dengan All Stars Gegar Vaganza. Tapi, saya sempat menonton trailer bagi filem berkenaan.
“Daripada trailer tersebut, cerita Gemencheh Boys ni best sebab ia membawa kisah inspirasi sukan kriket ke layar lebar daripada individu yang mengharumkan nama negara. Memang tak sabar nak tengok,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Nana sempat meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan yang dilakar oleh anak-anak FELDA dalam pelbagai bidang.
“Saya berasa bangga dengan anak-anak FELDA dari Gemencheh ni sebab Nana pun anak FELDA juga… anak FELDA Sendayan. Siapa kata anak-anak FELDA tak boleh berjaya?” katanya.
BERITA TRENDING: 6 Anak FELDA Yang Cemerlang Dalam Kerjaya Seni & Sukan
Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.
Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.
Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket. Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.
Selain Jason Chong, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.
BERITA TRENDING: Filem ‘Gemencheh Boy’ Antara Topik Yang Diperkatakan Mohd Isam Di Majlis Parlimen Ke-15...
Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.
Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.
Membabitkan kerjasama Astro Shaw dengan GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober lalu.