Filem Gemencheh Boys baru sahaja ditayangkan di pawagam pada Khamis lalu. Sungguhpun tidak sampai seminggu, ramai dalam kalangan penonton sudah mula memberikan ulasan positif terhadap filem arahan Jason Chong itu.

Meninjau laman X, pelbagai reaksi dan respons dapat dilihat mengenai naskhah berkenaan.

"Kalau ada masa pergilah tonton #GemenchehBoys dekat cinema terdekat. Salah satu karya tempatan yang aku kagum dan bangga. Cukup rasa dan rempah, penuh emosi. Kelakar? Ada. Sedih? Ada. Gembira? Ada. Keluar wayang rasa puas tengok cerita ni. Goodjob."





Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.


Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket. Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Selain Jason Chong, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.

Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.

Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.

Membabitkan kerjasama Astro Shaw dengan GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober 2023.

DAPATKAN TIKET GEMENCHEH BOYS DI SINI