Hiburan
Siti Nurhaliza Kongsi Pengalaman Menginap Di Hotel Atlantis The Royal Dubai, Siap Beri Tips Melancong – “Iya Saya Book Sendiri”
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi pengalamannya menginap di hotel terkemuka dunia iaitu Hotel Atlantis The Royal di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.
Kongsi Siti, dia mengakui seronok dapat menginap di hotel bertaraf lima bintang itu namun tersentak dengan harga makanan di hotel yang terletak di daerah Palm Jumeirah itu.
Best Tapi Makanan Mahal
Pelantun lagu Aku Cinta Padamu itu berkongsi perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan peminat pada sesi siaran langsung (Live) di Instagram (IG).
“Best… sudah tentu best.
“Saya dapat pengalaman duduk di situ. Memang tak dinafikan tapi makan kat situ… pening biji mata sebab mahal.
“Dubai ini tempat best tapi segalanya mahal,” kongsinya dalam sesi live tersebut.
Siti Tempah Sendiri Bilik Hotel
Kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dirinya sendiri yang membuat tempahan bilik di hotel tersebut kerana mempunyai potongan harga.
“Iya saya book sendiri hotel. Saya manusia biasa juga yang suka melancong cari hotel sendiri.
“Hotel tu saya tempah di booking.com saja. Saya pun macam orang lain juga, saya pakai aplikasi yang boleh beri diskaun. Ada level dia jadi kalau tinggi dapat murah.
“Kena pandai juga jangan nak habis belanja saja, janji kita dapat fasiliti yang bagus dan ada diskaun,” dedah Siti lagi.
Sentiasa Rancang Awal Percutian
Dalam pada itu, Siti yang kini masih dalam tempoh bercuti bersama keluarga itu sempat memberi tips melancong seperti membuat perancangan awal beberapa bulan sebelum.
“Saya suka buat sendiri, kalau pergi Umrah pun saya tempah hotel sendiri dahulu.
“Itinerary juga saya buat sendiri dan ada juga bantuan dari agensi seperti ketika saya menaiki kapal tempoh hari. Yang lain semua saya buat sendiri.
“Kalau nak buat percutian kena rancang awal, saya cari hotel semua 4 ke 5 bulan sebelum saya pergi bercuti. Baru dapat harga murah,” kongsinya.
Untuk info, selain Emiriah Arab Bersatu, Siti Nurhaliza dan keluarga turut bercuti ke beberapa negara lain seperti Turkiye dan Oman sejak Disember lalu.
Must-Watch Video