Siti Nurhaliza Tak Terfikir Mahu Bawa Aafiyah Serius Dalam Bidang Seni
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah terfikir secara serius untuk membawa anak sulungnya, Siti Aafiyah terjun ke bidang seni.
Tak terfikir secara serius lagi
Menurut Siti, kehadiran Aafiyah yang bermain keyboard hanyalah untuk mengiringi dirinya sewaktu mendendangkan lagu berjudul Nadi di Konsert Cinta Di Awan baru-baru ini.
“Saya tidak terfikir untuk membawa Aafiyah serius dalam bidang muzik cuma untuk konsert di Genting itu sahaja kerana saya membawakan lagu Nadi.
“Lagu itu untuk anak saya, dia punya intro dan muzik Aafiyah belajar dengan Cikgu Illy yang sama-sama mencipta lagu tersebut, jadi perkara itu memudahkan lah.
“Walaupun masa rehearsal Aafiyah hampir tak nak perform sebab dia nervous, takut dan malu tapi alhamdulillah sewaktu konsert itu dia okay,” ujar Siti ketika ditemui di sidang media Hausboom Music Festival 2024 di Khan's Indian Cuisine pada Rabu.
Aafiyah teruja selepas persembahan
Sementara itu, penyanyi lagu Anta Permana itu juga sempat berkongsi reaksi anak sulungnya itu usai konsert tersebut berakhir.
“Dia teruja sangat, budak-budak kan bila dia dah selesa dan seronok. Aafiyah ada cakap concert seterusnya dia mahu ikut serta, tapi saya tiada cakap apa-apa pun sebab bukan setiap persembahan saya nak Aafiyah ada, cuma sewaktu konsert di Genting itu sesuai dengan lagu sahaja,” kongsinya lagi.
Terdahulu, kemunculan Aafiyah apabila bermain keyboard pada Konsert Cinta Di Awan yang berlangsung di Arena Of Star, Genting Highlands pada Sabtu mendapat perhatian ramai baru-baru ini.
Untuk info, Konsert Cinta Di Awan berlangsung selama dua hari di Arena Of Stars, Genting Highlands.