Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Suami Wanita Langgar Pelajar UiTM Dungun Mohon Maaf - "Saya Menangis, Sangat Sedih"

Gempak 13/10/2024 | 11:42 MYT
"Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu. Saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit," kata Azhar Ahmad, 53.

BERITA TRENDING: Tragedi UiTM Dungun: Wanita Disyaki Langgar Pelajar Direman 4 Hari

Dia adalah suami kepada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit kemalangan di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat Kampung Sura Hujung, kelmarin yang mengorbankan tiga penuntut universiti itu dan seorang cedera.

Azhar berkata, memang niatnya daripada awal kejadian berlaku, mahu berjumpa ahli keluarga mangsa dan meminta maaf namun, ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa.

Halusinasi

Menurutnya, isterinya yang berusia 49 tahun adalah seorang isteri yang baik dan penyayang, sebelum mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental.
"Ketika mengandung anak keempat, 10 tahun lalu, doktor mengesahkan isteri mengandung di luar rahim dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.
"Ketika mendapat rawatan di hospital di Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah. Selepas sedar dari koma, isteri mula alami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap sendirian.
"Sudah puas saya berubat, termasuk secara tradisional.. apa sahaja saya lakukan namun semuanya tidak berhasil," katanya yang sudah berkahwin 30 tahun dengan pasangannya.

BERITA TRENDING: Kawan Baik Arwah Kharil Anwar Kongsi Video 4 Hari Sebelum Kemalangan, - “Allah Sudah Menghantarkan Seorang Insan Yang…”

Azhar berkata, walaupun keadaan isterinya begitu, wanita berkenaan tetap bertanggung jawab, malah mengemas rumah, memasak dan tidak suka keadaan rumah yang bersepah.
"Dia juga penyayang dengan anak cucu, sering membeli dan memasak makanan untuk mereka," katanya.

Tak pernah keluar malam

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat maghrib dan isyak bersama anak bongsu apabila isterinya keluar rumah sambil memandu kereta.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelum itu menonton televisyen tiada di ruang tamu, bahkan pintu pagar rumah terbuka, dua pasang kasut isteri dan sehelai pakaiannya juga tidak ada.
"Dia tidak pernah keluar waktu malam. Kalau keluar, mesti ditemani saya dan anak-anak. Dia memandu pada waktu siang dan minum di kedai tidak jauh dari kampus," katanya.

BERITA TRENDING: Pemandu Wanita Rempuh Tiga Pelajar UiTM Dungun Hingga Maut Dipercayai Tidak Siuman

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian bersama anak bongsu sebaik dihubungi rakan yang memaklumkan SUV saya terbabit kemalangan.
"Terkejut saya melihat mayat pelajar di atas jalan raya. Saya ingat seorang mangsa, rupanya tiga orang. Saya cuba cari ahli keluarga mangsa di tempat kejadian ketika itu tetapi semua orang luar Dungun.
"Kemudian saya diarah polis untuk ke balai bagi diambil keterangan," katanya yang memaklumkan cuba bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun namun dinasihatkan tidak berbuat demikian bagi mengelak kekecohan.

Sorok kunci kenderaan

Katanya, dia sangat kesal dengan kejadian yang berlaku bahkan sudah menyorokkan kunci kenderaan sebelum kejadian.
"Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya sudah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi," katanya yang berharap pihak pengurusan UiTM membantunya bertemu keluarga penuntut terbabit untuk memohon maaf.
Sumber: Harian Metro
#Viral #wanita #Suami #UiTM #maaf #Terengganu #Langgar #Tak Siuman #Dungun
;