Laman Utama
"Takkan Masuk Syurga Orang Yang Sombong" - Ustaz Adnin Nasihatkan Guru Jangan Hina Pelajar
Pendakwah bebas, Ustaz Adnin Roslan tampil mengulas insiden tular pensyarah menghina pelajar ketika sesi kelas virtual baru-baru ini.
Jelas Adnin memetik pesanan dari Imam Azzahabi, tidak akan masuk syurga mereka yang sombong dengan ilmu yang dimiliki.
"Saya harap nasihat saya ini kita semua dapat terima dengan hati terbuka, selalu kita dengar nasihat anak murid je, tak ramai nak nasihat guru.
"Jadi para guru sekalian yang saya hormati kerana Allah jom sama-sama hayati pesanan ini.
"Imam Azzahabi berkata kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut, tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya.
"Barang siapa yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta membodoh-bodohkan dan merendah-rendahkan mereka, maka hal ini merupakan kesombongan yang paling besar.
"Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun sebesar biji sawi," katanya dalam hantaran video di Instagram.
Nasihatnya lagi, seorang pendidik tidak seharusnya membanding-bandingkan kemampuan pelajarnya sebaliknya perlu menghormati dan menuturkan bicara baik tanpa menghina.
"Kadang-kadang kita marah bila anak murid tak hormat kita tapi kenapa kita tak hormat anak murid kita. Kalau nak nasihat cakaplah baik-baik tanpa menghina
"Kalau ada anak murid tak mampu atau akademiknya slow jangan hina, jangan banding-bandingkan dan sebagainya. Rezeki manusia berbeza-beza," tambahnya.
Tular sepotong klip video memaparkan seorang pensyarah wanita memarahi pelajarnya ketika sesi pembelajaran maya.
Selain meminta kakak pelajar tersebut menjual gelang emas untuk membeli komputer riba, kata-kata pensyarah tersebut yang seolah-olah menghina golongan B40 turut mengundang kemarahan netizen.
BACA: “Merosakkan Imej Universiti Keramat” - Prof Hina & Memperlekeh B40? MPP Mohon Tindakan Selayaknya!