Laman Utama

Tamatkan Penantian 43 Tahun Ke Piala Asia, Perdana Menteri & Rakyat Malaysia Ucap Tahniah Buat Harimau Malaya

Maliah Surip
15/06/2022
03:15 MYT
Sponsor Banner
Tamatkan Penantian 43 Tahun Ke Piala Asia, Perdana Menteri & Rakyat Malaysia Ucap Tahniah Buat Harimau Malaya
Kemenangan skuad Harimau Malaya memusnahkan impian pasukan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi masih diraikan segenap lapisan masyakarat.
Masakan tidak, kemenangan yang diperoleh pada malam bersejarah tersebut menamatkan penantian selama 43 tahun untuk skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia 2023.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut menzahirkan rasa bangga dengan memuji dan mengucapkan tahniah menerusi catatan di Facebook.
“Sejarah tercipta buat Malaysia! Tahniah juga kepada para penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023!”tulis Ismail Sabri.
Sementara itu, ucapan tahniah dan rasa bangga juga datang bertali arus menerusi platform media sosial rakyat Malaysia, terutama peminat sukan bola sepak yang mahu skuad negara di bawah pimpinan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan Gon akan kekal konsisten serta cemerlang dalam setiap perlawanan pada masa akan datang.
Terdahulu, BERNAMA melaporkan empat gol pasukan negara masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.
Gol tunggal pasukan Bangladesh dijaringkan Mohammad Ibrahim.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar