VIRAL
Lelaki Dikerat, Mayat Disimen Dan Sebahagian Daging Digoreng
Hanya kerana perselisihan faham, seorang lelaki dibunuh dengan kejam oleh rakan sendiri sebelum mayatnya dikerat, disimen dalam bilik mandi, malah bahagian tubuh mangsa digoreng dan dimakan.
Kejadian mengerikan itu berlaku pada 10 Jun lalu di sebuah rumah di Bukit Ransam, Kampung Sungai Nipah, Kecamatan IV Jurai, melibatkan mangsa dikenali sebagai Periwisata, 32, dan suspek, Bobi, 34.
Menurut polis, siasatan mendapati suspek bertindak membunuh mangsa selepas berlaku pertengkaran serius antara mereka berdua, dipercayai berpunca daripada masalah peribadi.
"Suspek kemudian memotong tubuh mangsa kepada beberapa bahagian, meletakkannya dalam bekas, lalu menyimen mayat tersebut di bilik mandi," kata Ketua Polis Daerah Pesisir Selatan, AKBP Nurhadiansyah pada Selasa.
Lebih mengerikan, hasil lakonan semula kejadian yang dijalankan pada 12 Jun lalu mendedahkan suspek turut menggoreng dan memakan sebahagian kaki mangsa selepas kejadian.
“Pengakuan itu mengejutkan kami. Bahagian daging yang dimasak itu dimakan suspek sendiri,” jelas beliau.
Polis menahan Bobi susulan laporan kehilangan mangsa dan penemuan bahan bukti di lokasi kejadian, termasuk sisa simen dan kesan darah. Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan pertuduhan.
Suspek kini ditahan reman dan disiasat di bawah kesalahan membunuh serta mencemarkan mayat yang memperuntukkan hukuman penjara atau mati.
Penduduk kampung yang terkejut dengan kejadian ini menyifatkannya sebagai antara pembunuhan paling kejam yang pernah berlaku di daerah itu. – Agensi
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video