Hiburan
Tiga Jam Disoal Siasat SPRM, Ziana Zain Bukan Suspek Hanya Bantu Siasatan - “Mereka Tanya…”
Penyanyi, Ziana Zain menjelaskan kehadirannya memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya Khamis lalu bukan sebagai suspek.
Hanya bantu siasatan, tiga jam disoal siasat
Sebaliknya kata Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, kehadirannya sekadar membantu siasatan dan menjelaskan peranannya sebagai duta sebuah syarikat kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini.
“Pihak SPRM pun ada memberitahu saya dipanggil untuk membantu dan menjelaskan saya bukan suspek.
“Ketika siasatan mereka tanya berapa lama mengenali dan buat apa (dengan syarikat tersebut). Itu sahaja.
“Jadi saya beritahu saya adalah duta, menyanyi dan selebihnya kami hanya berbual,” katanya
Dalam pada itu, Ziana memberitahu siasatan SPRM berhubung isu tersebut sudah pun selesai sepenuhnya yang mengambil masa tiga jam.
Sangkal dakwaan terima bayaran cecah RM400,000
Ditanya mengenai jumlah bayaran diterima sepanjang menjadi duta syarikat tersebut, Ziana menyangkal kononnya menerima bayaran mencecah RM400,000.
“Yang dilantik menjadi duta ramai, jadi ‘belanjanya’ pun besar, kadang-kadang jumlah itu keluar bukannya kita dapat semua.
“Tapi Alhamdulillah, bahagian saya dan duta-duta lain sudah pun selesai tetapi dari segi siasatan selanjutnya saya tidak tahu,” ujarnya.
Sentiasa bersikap positif
Sementara itu, Ziana menganggap kontroversi tersebut sebagai tidak menyebelahinya dan bersikap positif walaupun nama baiknya terjejas.
Enggan mengulas panjang mengenai pembabitan syarikat tersebut dalam isu penggubahan wang haram, Ziana sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak SPRM.
“Ini pertama kali saya menjadi duta, orang kata dalam berbelas kita menjadi duta akan ada satu macam ini. Saya sekadar ‘permukaan’ ia sahaja bukannya di dalam syarikat tersebut.
“Mereka pun masih disiasat dan tidak boleh tuduh mereka bersalah atau tidak. Tak tahulah masa akan datang,” jelasnya.
Pada 6 Februari lalu, selain Ziana, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan turut hadir ke ibu pejabat SPRM bagi tujuan siasatan.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Pihak berkuasa turut menahan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Isu bertambah hangat apabila beberapa selebriti dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit selepas mereka bertindak sebagai duta kepada syarikat itu.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi ternama.
Sumber: mStar
Must-Watch Video