Hiburan

Energi Luar Biasa! Hattan, Hazama & Black Hanifah Cipta Momen Indah Di Konsert ‘Hitam Manis’ Untuk Peminat

Ainun
10/02/2025
14:55 MYT
Sponsor Banner
Energi Luar Biasa! Hattan, Hazama & Black Hanifah Cipta Momen Indah Di Konsert ‘Hitam Manis’ Untuk Peminat

Malam yang penuh dengan kenangan manis buat peminat apabila tiga penyanyi hebat iaitu Datuk Hattan, Hazama, dan Black Hanifah telah berjaya menghidupkan konsert Hitam Manis yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada Sabtu lalu.

Menampilkan sebanyak 23 lagu, konsert itu berjaya memukau kira-kira 2,500 penonton yang hadir menyaksikan persembahan mereka.

Bagaimanapun, sepanjang tiga jam konsert itu berlangsung, pelbagai detik menarik telah berlaku serta mencipta momen istimewa untuk semua yang hadir.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah persembahan Black Hanifah yang menyanyikan lagu PokPet bersama anaknya, Khaleef Dayyan, yang berusia 10 tahun. Gelagat mereka di atas pentas berjaya mencuit hati penonton dan menjadikan persembahan itu sanagt comel serta menghiburkan.

Selain itu, Hazama turut mendendangkan lagu Umi, yang pernah dipopularkan oleh Datuk Shake. Menurut penyanyi Sampai Mati, lagu berkenaan didedikasikan khas buat ibunya, yang turut hadir untuk menyaksikan persembahannya pada malam itu.

Suasana konsert tersebut semakin hangat apabila Datuk Hattan mengambil alih pentas dengan lagu-lagu popularnya seperti Biso Bonar, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, dan Memburu Rindu.

Dalam usia yang semakin meningkat, penyanyi legenda itu turut berjaya mengagumkan peminat dengan energi yang sungguh luar biasa.

Pada masa sama, Hattan turut mempersembahkan segmen khas sebagai penghormatan buat sahabatnya, penyanyi legenda Allahyarham Jay Jay. Isteri Allahyarham, Zaitoon Wahid, juga hadir memberi sokongan pada malam itu.

"Pada 4 Ogos lalu, kita kehilangan seorang pemain bass yang hebat, iaitu Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus.

"Kebanyakan lagu dalam album saya dimainkan oleh beliau. Misalnya, lagu Rendang Tak Berbuah, dia yang memainkan bass untuk lagu itu.

"Kita sememangnya kehilangan sebutir mutiara. Jay Jay seorang yang low profile dan down to earth.

"Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk memandikan jenazahnya sebelum dikebumikan. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Sebelum menutup konsert yang hebat itu, Hattan, Hazama dan Black Hanifah turut melakukan kolaborasi nyanyian bersama seperti Duit, Rindu Bertandang Lagi, Drama King, Dari Kekasih Untuk Kekasih dan lagu klasik Hitam Manis yang digubah semula menjadi lebih moden oleh anak Hattan iaitu Adam E.

BERITA BERKAITAN: Slam Tampil Bersama Orkestra Selepas Tiga Dekad, Janjikan Kelainan Kepada Peminat - “Gerun Dengar Arrangement Lagu”

BERITA BERKAITAN: 'Rock It Like Amy' Tema Outfit Konsert Amy Search Magic, Jom Dress Up! - "Saya Nak Semua Hidupkan Semula..."

BERITA BERKAITAN: Non-Stop Energy! Konsert Nidji 2.3 The New Chapter Luar Biasa, Hadiah Terbaik Buat Peminat Selama 23 Tahun

BERITA BERKAITAN: Hadiah Patung Beruang, Lagu K-pop, Bollywood Hangatkan Suasana Konsert Memori Mungkin Berulang Siti Nordiana & Tomok

Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024