Laman Utama
Trending Di Twitter, Duduki No. 1 Di iTunes Beberapa Jam Selepas Dilancarkan, Ini Sebab Kenapa SITISM Merupakan Sebuah Album Fenomena
Izwan Isa
01/07/2023
|
03:50 MYT
Ketika Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi judul album terbaharunya sekitar minggu lalu di Instagram, dunia media sosial menjadi kecoh.
SITISM - kongsi Siti bersama tarikh 30 Jun 2023 sebagai penanda bilakah buah tangan baharunya itu bakal menemui peminat.
Sebaik sahaja judul album diumumkan, ramai mula membuat spekulasi, bagaimanakah rupa bentuk muzik yang ingin diketengahkan oleh penyanyi nombor satu negara ini. Adakah sama dengan karya terdahulu? Apakah pembaharuan yang ingin diketengahkan?
Nah, ini sebab-sebab kenapa SITISM merupakan album fenomena yang perlu anda strim dan dengar!
1. Di sebalik SITISM
Menurut Siti, SITISM dipilih sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat dalam industri muzik, beliau sendiri sudah menghidupkan jenama ‘Siti Nurhaliza’ itu dengan ciri tersendiri. Tambah Siti, SITISM adalah dirinya yang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan karier yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan.
2. Mahakarya pencipta unggul
Barisan penulis lagu dan juga komposer yang bekerjasama dengan Siti dalam SITISM bukanlah calang-calang. Menyapa Dunia ditulis sepenuhnya oleh Melly Goeslaw, Tanpa Diri-Mu pula menampilkan kerjasama Luca Sickta dan juga Siti dalam penulisan lirik.
Sehebat Matahari menampilkan sinergi Aubrey Suwito dan Rozisangdewi, yang pernah mencuit hati pendengar dengan lagu Jaga Dia Untukku suatu ketika dahulu. Ganti menyaksikan kerjasama perdana Siti bersama Mingaling, Nuha Nik dan Amir Hasan.
Trek Romansa Kita diangkat sebagai fokus trek SITISM yang memperlihatkan kerjasama Siti sekali lagi dengan Sharon Paul dan Rozisangdewi.
Sementara itu, Menjaga Cintamu yang diangkat sebagai runut bunyi filem Anwar The Untold Story pula menyaksikan kolaborasi Siti bersama geliga muzik Andi Rianto dan penulis lirik Sekar Ayu Asmara. Magis menutup SITISM dengan ciptaan penuh kemas Mas Dewangga dan Jova Devito, lirik oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King.
3 Bakal ada edisi deluxe
Tak cukup lapan lagu? Jangan khuatir, Siti bakal menambah empat lagi lagu baharu dalam edisi deluxe yang dijangka menemui peminat pada Ogos nanti. Menurut Siti, edisi berkenaan turut menampilkan edisi fizikal.
4 Segar, relevan
Sejak dilancarkan, SITISM trending di Twitter, menjadikan album terbaharu Siti itu sebagai salah satu topik perbualan warganet ketika ia dilancarkan. Dari segi foto yang berkonsepkan futuristik, Siti berjaya membuktikan relevansinya dalam industri muzik masih kukuh.
Tentulah, selain berjaya menjadi topik trending sepanjang malam selepas album dilancarkan di semua platform digital, SITISM juga terus menduduki tangga pertama di iTunes Malaysia, mengalahkan beberapa album antarabangsa yang lain.
Itulah Siti Nurhaliza. Tidak hanya memiliki fandom terbesar dengan gelaran Sitizoners yang banyak memberikan sokongan, malah, pengaruhnya dalam dunia hiburan juga dilihat tiada bayang-bayang untuk padam.
SITISM itu Siti, Siti itu SITISM. Tahniah atas pelancaran sebuah lagi karya yang bakal melekat kuat dalam dakapan penggemar dan peminat