BIG STAGE S2 BM
"Perlu Kuat Untuk Terima Komen & Akan Dibanding Dengan Orang Lain" - Pesanan Amira Othman Buat Irfan Haris
Penyanyi Amira Othman mengakui adiknya, Irfan Haris ada meminta pendapatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai program Big Stage musim kedua.
Menurut Amira, ini merupakan satu platform yang baik untuk terus kekal dalam industri nyanyian.
"Dia ada tanya pendapat saya sama ada boleh tak untuk menyertai program realiti?
"Saya beritahu dia program realiti ini kita perlu kuat kerana menerima pelbagai komen serta akan dibandingkan dengan orang lain.
"Namun, ini merupakan satu platform yang bagus untuk terus kekal dalam industri.
"Kita tahu sebelum ini perjalanan kariernya agak perlahan kerana masih bersekolah. Jadi kebetulan dah habis persekolahan serta dapat peluang untuk menyertai program ini, apa salahnya.
"Saya ucapkan semoga maju jaya dan pastikan dirinya melakukan yang terbaik," katanya kepada HLive.
Selain Irfan, terdapat 12 peserta lain antaranya Santesh, Adzrin, Kucaimars, Aziz Harun, Han Byul, Neeta Manisha, Sheryl Shazwani, Syada Amzah, Fieya Julia, Chaleeda dan Dinda Permata.
Alif Satar dan Sherry Alhadad sekali lagi bakal menggalas tugas sebagai pengacara Big Stage.
Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann akan menjadi hos Big Stage Live Plus yang akan disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Seorang lagi personaliti radio ERA, Hani Fadzil bakal menjadi hos untuk Studio Big Stage dan Kompilasi Studio Big Stage.
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan menggalas tugas sebagai juri tetap bersama dua bintang popular Indonesia, Judika dan Chakra Khan yang akan bergilir-gilir duduk ke kerusi juri pada setiap minggu.
Seorang juri undangan juga akan dijemput setiap minggu bagi menyertai dua orang juri tetap bagi mengadili persembahan bintang Big Stage.
Rancangan ini akan mula ditayangkan mulai 18 Ogos 2019, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Big Stage dibawakan kepada anda oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!


Must-Watch Video