gaya hidup

BANJIR di Sana Sini – Ya Allah, Jadikanlah Hujan Ini Hujan Yang Baik, Lindungilah Saudara Kami Yang Sedang Diuji

Afiza Kamarulzaman
19/12/2021
00:56 MYT
Sponsor Banner
BANJIR di Sana Sini – Ya Allah, Jadikanlah Hujan Ini Hujan Yang Baik, Lindungilah Saudara Kami Yang Sedang Diuji
Hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa negeri telah dinaiki air dan jumlah mangsa banjir yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan pada pagi Sabtu.
Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir selain Kelantan, Pahang dan Terengganu. Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 798 mangsa daripada 170 keluarga dipindahkan ke 11 PPS berbanding 735 mangsa daripada 156 keluarga, semalam.
Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapten Mohd Hanif Omar berkata, 11 PPS dibuka iaitu tujuh di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 24.36 meter (m), Sungai Kelantan di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.62 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.51 m).
Di Pahang, bilangan mangsa banjir turut meningkat apabila sembilan PPS dibuka awal pagi Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi sebanyak 25 bagi menempatkan 513 mangsa daripada 137 keluarga di daerah Maran dan Raub.
Menurut Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat kesemua PPS yang baharu dibuka terletak di daerah Raub iaitu Masjid Kampung Kuala Semantan, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Sekolah Kebangsaan Tersang dan Masjid Baru Kampung Ajai.
Selain itu, Balai Raya Kampung Ria dan Dewan Dato Seriwa Dong, Masjid Kuala Temau, Balai UMNO Kampung Batu Talam dan Dewan Serbaguna Kampung Pia turut dibuka awal pagi Sabtu.
Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja yang merekodkan bacaan setinggi 37.97 meter (m) berbanding paras bahaya 37.5 m.
Sementara itu di Selangor, Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis memaklumkan seramai 1,011 mangsa banjir di kawasan Telok Gong, Klang dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah dan Masjid Al-Ubudia.
Selain itu, operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir juga melibatkan kawasan di daerah Kapar, Banting, Pelabuhan Klang, Andalas, Pulau Indah dan Sepang membabitkan 64 mangsa termasuk dua keluarga yang kemudian dipindahkan ke PPS berhampiran.
Di Negeri Sembilan, tiga PPS dibuka setakat pagi Sabtu iaitu Balai Raya Jimah Lama dan Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson serta Surau Keru Hilir, Tampin bagi menempatkan 107 mangsa membabitkan 36 keluarga.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebanyak 21 lokasi dilanda banjir antaranya Kampung Jimah Lama, Batu 6 Kampung Keru dan Darul Widad Linggi.
Dalam pada itu, Pengarah APM Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, Jalan Sendayan menuju Kampung Jimah Lama, Port Dickson ditutup kepada kenderaan awam berikutan berlaku tanah runtuh sejak awal pagi Sabtu akibat banjir dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lebuh raya.
Di Melaka, sebuah PPS dibuka di Alor Gajah selepas kawasan tersebut dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah itu sejak jam 3 petang Jumaat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu kini menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas. - Bernama
Diharapkan Bantuan Sampai Cepat, Sama-Sama Kita Doakan
Pada waktu beginilah kita mengharapkan wakil rakyat yang selama ini katanya berjuang untuk rakyat boleh sama-sama turun padang dan mengerah hantaran bantuan sampai cepat agar dapat membantu mereka yang terkandas dalam bencana tersebut.
Banjir ini bukan datangnya perlahan-lahan tapi berlaku dalam masa yang singkat kerana itu pelan persediaan rapi perlu dilaksanakan sebelum bencana berlaku lagi, bukan menunggu sehingga paras air naik dan menggenelamkan rumah dan harta-benda penduduk.
Dan, sebagai rakyat, kita juga boleh membantu apa yang termampu. Setidak-tidaknya angkatlah tangan di kala hujan turun mencurah-curah ini dengan memohon perlindungan kepada saudara kita yang sedang resah diuji bencana hebat ini.
Sebagai umat Islam, ingatlah, hujan adalah nikmat dan rahmat yang perlu disyukuri serta menjadi muhasabah dan ujian atas seseorang hamba. Itulah bukti kekuasaan Allah SWT yang akan mendorong seorang hamba mengakui ke-Esaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan mengikhlaskan diri beribadah kepada Allah SWT.
Oleh itu, setiap orang beriman dituntut untuk berdoa ketika turun hujan agar dijauhkan daripada segala bala bencana. Semoga Allah SWT menjadikan setiap hujan yang turun itu sebagai rahmat dan keberkatan daripada-Nya.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024