Highlights

Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga! Kepada Pemakai ‘Gelang Khas’ Tolonglah Jangan Pentingkan Diri.

Huda Hussain
22/07/2020
09:28 MYT
Sponsor Banner
Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga! Kepada Pemakai ‘Gelang Khas’ Tolonglah Jangan Pentingkan Diri.
Adakah kita patut cemas atau panik dengan situasi semasa yang berlaku ketika ini? Atau perlukah kita relaks, berlagak selamba dan seolah-olah perlu ambil pusing? Sudah tentulah tidak. Kerana apa yang berlaku ketika ini menjawab kepada sebahagian kemusykilan mengapa kes positif Covid-19 semakin menunjukkan trend peningkatan. Malah lebih ketara sejak tempoh PKPP berkuatkuasa.
Kredit Foto: Google
Tular di media sosial, orang ramai berkongsi foto mengenai fiil pemakai ‘gelang khas’ ini yang disifatkan mementingkan diri dan tidak mematuhi perintah yang dikenakan kepada mereka. Bermula dengan seorang wanita yang memakai ‘gelang pink’ dilihat selamba menjamu selera di sebuah restoran di Meru Raya, Ipoh. Dan tidak lama kemudian selepas menjalani ujian saringan kedua didapati wanita tersebut dan anaknya disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Permaisuri Raja Bainun.
Pentingkah identifikasi ‘gelang khas’ ini? Ya! Mereka adalah individu yang baru pulang dari luar negara, mempunyai kontak rapat pada individu positif Covid-19 atau mempunyai gejala. Malah berisiko untuk menyebarkan jangkitan jika mereka disahkan positif. Jika mereka langgar arahan kuarantin ini bermakna mereka berada di kalangan kita. Risiko untuk penyebaran virus ini juga semakin tinggi. Haa… takut tak?
Kredit Foto: Google
Semuanya Kerana Sikap Tidak lama selepas itu, tular pula foto ini. Si pemakai yang bersikap mementingkan diri sendiri dengan selamba menggunting dan membuang ‘gelang pink’ tersebut di KLIA pada tarikh yang sama dia tiba. Dan hinggalah membawa tumpuan warga netizen kepada penemuan pemakai gelang-gelang khas ini di pasar raya dan di tempat awam lain. Sedangkan sepatutnya mereka menjalani tempoh kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari!
Kuarantin Di Pusat Kuarantin Bermula Jumaat Ini Lantaran situasi semasa yang berlaku, kerajaan kini membuka semula pusat-pusat kuarantin di seluruh negara khusus untuk warganegara dan sesiapa sahaja yang baru pulang dari luar negara untuk menjalani tempoh kuarantin 14 hari. Dek kerana sikap mementingkan diri dan ingkar kepada arahan yang ditetapkan maka bermulalah sesi kuarantin di pusat kuarantin. Betapa mudahnya sebahagian daripada masyarakat yang memandang ringan mengenai soal ini hingga kerajaan perlu bertindak tegas. Bukan itu sahaja, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda dan disabitkan hukuman. Kemudahan dan keselesaan serta kelonggaran tempoh kuarantin dirumah yang diberi kerajaan sebelum ini tidak dihargai. Maka, janganlah pula merungut usai pulang dari luar negara nanti ya. Inilah yang dikatakan, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Masyarakat Mulai Alpa Dan Lalai Tatkala sektor ekonomi baru memulakan rentak, sesi persekolahan dibuka sepenuhnya baru-baru ini rata-rata dilihat masyarakat semakin alpa dan leka untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Tidak kurang juga yang membawa anak-anak kecil bersesak ditempat awam tanpa mengambil kira penjarakan sosial yang selama ini sudah sebati dalam norma baharu. Alahai… Kita belum menang lagi ya. Janganlah sesekali ambil mudah dan menganggap semuanya sudah kembali pulih hanya kerana kita sudah mula menjalani rutin harian seperti biasa.
Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Pemakaian Pelitup Muka Kini Diwajibkan Lantaran itu, ia membawa kepada satu lagi penguatkuasaan. Terbaru kerajaan menetapkan pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada semua bermula 1 Ogos apabila berada di tempat awam. “SOP di tempat-tempat awam yang bersesak tidak diendahkan oleh segelintir pihak jadi kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos di kawasan awam yang sesak,” ujar Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP.
Justeru, sama-samalah memahami istilah ‘Kita Jaga Kita’ yang selama ini dilaung-laungkan. Semua harus memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memutuskan rantaian jangkitan dan penularan Covid-19 daripada terus merebak dengan mudah. Takkanlah mahu berkurung dan terperap dirumah sekali lagi kan? Lagipun, Aidiladha semakin hampir. Pasti semua sudah punya perancangan masing-masing. Jika SOP dan arahan kerajaan juga KKM enggan dipatuhi, bersiap sedialah dengan apa jua penguatkuasaan terbaru okey.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar