"Alhamdulillah syukur kepada Allah, Dia telah berikan jalan cerita hidup penuh warna. Semakin hari semakin menarik,” ulas Datuk Farid Kamil ringkas kepada wakil media sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, kira-kira jam 3 petang tadi.

Pelakon dan pengarah filem itu yang dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM12,000 selepas ditahan reman selama lima hari di atas empat pertuduhan termasuk dakwaan menampar anggota polis turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan ramai.

Sebelum memasuki kenderaan MPV hitam yang sedia menunggu di perkarangan kompleks terbabit, Farid yang diiringi dua adiknya, Fadzil dan Dr Anis Anwar sempat memberikan pose khas kepada jurugambar.

Pada masa sama, ayah kepada dua cahaya mata berusia lima dan tiga tahun itu turut meluahkan hasrat tidak sabar untuk bertemu kedua-dua mereka sebaik dibenarkan pulang.

"Saya rindu anak-anak saya dan sekarang mahu terus jumpa mereka. Insya-Allah saya akan bertemu mereka secepat mungkin. Alhamdulillah, saya berasa lebih baik dan bersyukur pada Allah.

“Saya juga berterima kasih pada semua orang yang memberikan sokongan. Kepada semua di luar sana, jaga diri baik-baik, jaga keluarga dan ingat Allah selalu. Assalamualaikum,” katanya menjawab soalan media yang bertanyakan apa perkara pertama yang ingin dilakukannya selepas itu.

Tidak mengaku bersalah.

Mengimbas kes penahanannya, Farid yang juga suami kepada aktres Datin Diana Danielle pada Khamis minggu lalu didakwa menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Pagi tadi, ketika dibacakan pertuduhan Farid, 37, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Beliau hanya menggelengkan kepalanya (mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan) setiap kali pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Farid dipanggil dan berdiri di dalam kandang tertuduh pada 11.30 pagi dan Diana yang turut dilihat berada di galeri awam mahkamah mula menunggu prosiding membabitkan suaminya itu kira-kira dua jam sebelumnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Diana enggan memberikan sebarang komen kepada media malah meninggalkan kompleks mahkamah sejurus prosiding membabitkan suaminya selesai kira-kira jam 12.30 tengahari.

Bagaimanapun, sebelum itu dia mendekati suaminya dan kelihatan menyelak rambut Farid untuk melihat kesan luka pada dahinya.

Menurut adiknya pula, Fadzil, keluarga dan Diana sepakat membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan dalam kadar segera sebelum merujukkannya ke pakar berkaitan masalah tekanan perasaan.

Berikut adalah pertuduhan, dan hukuman jika didapati bersalah:

*Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin.

*Bagi kedua-dua kesalahan itu, dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

*Mengikut pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan menghalang tugas polis dan beliau didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

*Manakala bagi pertuduhan keempat, beliau didakwa berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Kota Damansara dengan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Nizam yang mana ia boleh mendatangkan kemarahan.

*Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan, jika disabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter pertanyaan di Balai Polis Kota Damansara, jam 1.20 petang pada 11 Januari lalu.