Menonton Anugerah Juara Lagu ke-31 kali ini membuatkan kita terfikir tentang kreativiti seseorang penyanyi atau kumpulan menyampaikan cerita di dalam lagu.
Bermula dengan cemerlang apabila Jaclyn Victor membuka anugerah dengan lagu 'Gemilang' diiringi oleh pemenang Asia's Got Talent, El Gamma Penumbra daripada Filipina. Arah tuju penganjur menampakkan hasil yang hebat. Tetapi keadaan mula bertukar apabila pertandingan bermula.
Akim & The Majistret - Obses
Tidak mahu mempertikaikan soal lagu, tetapi pilihan mereka untuk berpakaian villain kepada Batman terlalu jauh dengan tema pertandingan. Adakah itu yang dimaksudkan dengan obses? Menjadi penjahat? Ramai netizen mempersoalkan persembahan mereka. Ada yang secara berseloroh berkata, "Mereka tak tahu ke, villain sememangnya kalah?"
Aiman Tino - Ku Rela Dibenci
Persembahannya sangat amatur di pentas sebesar AJL. Bak kata seorang teman, "Datuk Siti Nurhaliza juga berumur 17 tahun ketika beliau menang Anugerah Juara Lagu". Bermakna, bukan soal umur yang menjadi ukuran, tetapi soal persediaan yang dibuat. Banyak kali suaranya hanya tenggelam dek orkestra yang mengiringi persembahan.
Black - Anugerah Terindah
Tidak ada orang boleh menafikan vokal Black, dan walaupun tidak disebut pada malam tersebut, Black pernah memenangi Vokal Terbaik di AJL. Tetapi menjadi kapten kapal? Interpretasi 'Cerita Dalam Lagu' bukan melalui pakaian yang bukan-bukan, malah kehebatan vokal juga mampu menyampaikan cerita di dalam sesebuah lagu.
Elizabeth Tan dan Awi Rafael - Setia
Tidak ada apa yang dapat diingati melalui persembahan mereka kecuali membezakan penyanyi rakaman dan penghibur di pentas. Elizabeth kerdil jika dibandingkan dengan Awi Rafael, apatah lagi jika berpadu suara dengan Faizal Tahir.
Mawi dan Syamsul Yusof - Kalah Dalam Menang
Baru timbul persembahan yang bertenaga dan seiring dengan prestij sebuah pertandingan sebesar AJL. Cerita dalam lagu yang hendak disampaikan tanpa perlu props yang pelik sampai dengan berkesan. Siapa sangka, Syamsul sangat berpotensi untuk menyampaikan rap dengan baik, segar, bertenaga dan boleh difahami butirannya.
Khalifah - Hang Pi Mana
Satu kampung di bawa ke atas pentas. Interpretasi lagu secara langsung lirik di dalam lagu tersebut. Kalau ini bentuk persembahan yang membolehkan mereka yang bertanding menang anugerah persembahan terbaik, mungkin tahap industri muzik kita masih terlalu jauh untuk ke hadapan.
Suffian Suhaimi - Terakhir
Gemuruhnya masih nampak dengan suaranya yang tenggelam timbul. Props ranting kering yang sering diulang-ulang dalam mana-mana persembahan, hatta untuk persembahan pertandingan realiti.
Hazama - Di Amaran Mama
Konsepnya ada tetapi untuk memahami interpretasi lagu tersebut, entahlah! Mungkin dia mahu lari daripada menggunakan tradisi penari-penari yang mengiringi persembahan. Cuma, ini pertandingan lagu, pertandingan lirik, tetapi terlalu ramai yang kisah untuk menang persembahan terbaik. Fokus kepada vokal untuk menyampaikan lirik lagu dengan sempurna jatuh nombor dua.
Dayang Nurfaizah - Lelaki Teragung
Boleh dikatakan 'penyelamat' anugerah berprestij ini. Tumpuan persembahan beliau adalah memberikan yang terbaik dari segi vokal untuk menceritakan lirik lagu secara sempurna diiringi oleh ciptaan lagu yang syahdu. Bila anda ada 'pasukan' yang memahami betapa pentingnya vokal itu untuk memberikan 'justice' kepada sesebuah lagu, anda tidak perlu props bukan-bukan.
Hafiz Suip dan Misha Omar - Terima ku Seadanya
Pasangan yang menambah kepada kehebatan Anugerah Juara Lagu ke-31. Cukup dengan raut wajah dan vokal yang mantap, butir-butir cerita dalam lagu yang ingin disampaikan melekat di jiwa. Kedua-duanya pernah memenangi anugerah vokal terbaik di AJL dan pastinya paduan suara mereka mengagumkan. Bukahkah prestij sering diulang-ulang untuk menggambarkan anugerah ini?
Projector Band - Sudah Ku Tahu
Kalaulah mereka buang lakonan drama 80an di awal-awal persembahan, pasti selayaknya Projector Band menjadi antara kumpulan yang turut sama berada dalam kelompok yang mengangkat prestij pertandingan ini. Bukan sahaja lagunya mantap tetapi juga sangat popular, dan sudah cukup untuk mengangkat mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Shila Amzah dan Alif Sattar - Selamanya Cinta
Gabungan suara mereka, gerak langkah dan bicara badan sudah cukup untuk menyampaikan cerita di dalam lagu yang disampaikan. Persembahan mereka antara persembahan yang membezakan profesional dan amatur.
Nostalgia persembahan-persembahan di pentas AJL tahun-tahun sebelumnya sepatutnya menjadi nilai ukuran kepada mereka yang kali pertama atau baharu berjaya menembusi pentas AJL.