Skip to main content

Market Trends

Anuar Zain Rancang Sesuatu Yang Grand Di Usia 50 Tahun

anuar-01.jpg

Dua tahun lagi, penyanyi bervokal hebat tanah air, Anuar Zain merancang untuk melakukan sesuatu bersempena simbolik meraikan usia 50 tahunnya.

Malah adik kepada Ziana Zain itu berharap apa yang dirancangnya itu biarpun masih terlalu jauh untuk dibayangkan itu sebagai yang sangat grand.

Anuar berkongsi hal itu ketika ditemui Rojak Daily Kaw! di sidang media konsert amal Anuar Zain An Evening With The Stars Charity Dinner Johor Bahru baru-baru ini saat ditanya apakah harapannya selepas genap usia 48 tahun disambutnya pada 15 Februari lalu.

Akan terus berjuang di bidang seni.

“Saya harap akan terus fokus dan sihat untuk berjuang di arena seni sekali gus dapat berkarya seperti biasa meneruskan kelangsungan ini semua sejak lebih tiga dekad lalu.

“Buat masa ini otak saya tak berhenti-henti mahu berkarya. Malah tahun ini juga banyak benda datang dan terbit dari minda. Malah dua tahun lagi pada usia 50 tahun pun saya mahu lakukan sesuatu yang istimewa bagi meraikan detik berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Bila Resah dan Keabadian Cinta itu juga selesa merahsiakan setiap cabang amal yang dilakukannya tanpa perlu dihebah-hebahkan. Bagi penyanyi itu beliau selesa dengan prinsip sedemikian saat menjawab pertanyaan berapakah jumlah yang akan didermakan menerusi konsert amal yang akan dijayakannya di Persada Johor International Convention Centre pada 6 Mei depan itu.

Enggan berkongsi soal amal.

Selain Anuar, konsert anjuran E&F Event Resources itu turut menampilkan Zamani dan penyanyi Singapura, Fauzie Laily. Malah pihak penganjur juga akan memberikan sebahagian sumbangan kepada yang memerlukan menerusi Yayasan Lace Datuk Rokiah bagi membantu insan kurang berkemampuan, anak yatim, asnaf, warga emas dan ibu tunggal di Johor Bahru.

“Soal amal itu, biarlah antara saya dan Allah. Saya tak kongsi,” pintasnya ringkas.

Berbanding tahun lalu yang dilihat agak sepi bagi Anuar Zain, penyanyi yang kini sudah lebih tiga dekad membina nama itu bagaimanapun menyifatkan tahun 2018 sebagai sebaliknya.

Kembali padat di tahun 2018.

Beliau kini mahu aktif dan ketika ini sudah ada dua konsert membabitkannya dengan penyanyi lain.

Selain konsert terbabit, beliau sebelum itu juga akan menjayakan konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 April ini.

“Insya-Allah tahun ini memang akan ada deretan konsert bertiket yang akan dianjurkan membabitkan saya. Ia satu yang menyeronokkan.

“Memang tahun lalu agak sepi. Tapi saya nampak tahun ini macam akan memberi sinar kepada banyak industri termasuk dunia seni. Dari hujung tahun lalu hingga awal tahun ini, saya lihat perkembangan positif yang sangat berbeza daripada tahun sebelumnya. Bukan nak cakap tahun sebelum ini tak bagus.

Bakal buat persembahan selamat 45 minit.

“Cuma saya lihat tahun ini bagai membuka banyak tuah dan insya-Allah harap ia berterusan membuka peluang serta rezeki kepada insan seni seperti kami,” katanya yang ditemui pada sidang media konsert amal di ibu kota.

Tambah beliau lagi, biarpun dua konsert menantinya dengan jarak yang agak dekat, beliau tetap akan memberikan corak persembahan berbeza.

“Ia dua persembahan berbeza. Malah artis yang ditampilkan juga tidak sama. Saya akan tampilkan kelainan untuk dua konsert ini,” katanya.

Pada konsert amal itu, Anuar Zain dijangka membuat persembahan kira-kira lebih lapan lagu selama 45 minit. Masa selebihnya akan diisi Zamani dan Fauzie.

Tiket sudah mula dijual dan untuk membeli tiket, boleh layari www.ticketcharge.com.my atau www.facebook.com/aneveningwithstars.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video