Dua kali saya merombak tulisan saya. Kali pertama ditulis seperti satu publisiti dan yang kedua pula ditulis lebih santai tapi tetap seperti satu berita hiburan. Tidak! Ini terlalu personal untuk saya tuliskan sebegitu. Ini bukan sekadar berita hiburan biasa, ini adalah persembahan Ella di Dewan Filharmonik Petronas!
Dengan jualan tiket sold out untuk dua malam berturut-turut serta kehadiran peminat daripada seluruh pelusuk negara termasuk Singapura dan Brunei, Ella Live with the MPO – A Rock Queen's Journey menjadi satu kenangan yang cukup hebat bukan sahaja untuk saya tetapi pada semua.
Melangkah sahaja ke dalam dewan, hati saya berdebar-debar. Suatu ketika dulu saya pernah menjadi sebahagian daripada pengurusan Ella, dan sudah tahu betapa sukarnya untuk membuat satu persiapan persembahan yang besar. Dulu di belakang pentas, tapi kali ini diberi penghormatan oleh pihak Dewan Filharmonik Petronas sebagai tetamu untuk menonton persembahan Ella, terima kasih Harry!
Mungkin ada yang berkata, untungnya Ella dapat membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), tetapi tanpa sedar DFP turut beruntung dapat membawakan Ella membuat persembahan di pentas berprestij mereka.
Persembahan Ratu Rock Negara itu tidak pernah mengecewakan dan tiada yang berlainan untuk kali ini, malah lebih hebat! 19 buah lagu termasuk lima lagu medley digubah penuh teliti dan berseni. Semua lagu digubah khas untuk persembahan di DFP oleh Ahmad Muriz Che Rose, Jenny Chin, Luqman Aziz dan Leonard Yeap.
Dengan iringan 90 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, alunan suara Ella menusuk ke hati. Setiap lagu dinyanyikan dengan penuh kawalan yang indah untuk seiring dengan persembahan orkestra yang cukup besar. Tapi Ella tetap Ella! Takkan mungkin lari daripada suara serak basah yang membuai jiwa. That beautiful signature voice of hers!
Nuri menjadi pembuka tirai persembahan, diikuti dengan lagu Permata Biru, Pengemis Cinta, Puteri Kota, Pedih, Rindu dan medley Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Tiada Tangis Lagi, Retak serta Demi memenuhi segmen pertama persembahan Ella.
Tiada penonton yang senyap di dalam dewan. Masing-masing turut menyanyi bersama, membuktikan lagu-lagu nyanyian Ella sememangnya lekat di hati peminatnya. Uniknya adalah pemilihan lagu Puteri Kota yang mungkin jarang dibawakan Ella di mana-mana persembahan. Itu adalah lagu pilihan sang suami, Kapten Azhar, yang mahu memberikan cabaran untuk Ella! Tabik dan bangga kerana saya mungkin antara segelintir peminat yang menghafal lirik lagu tersebut!
Segmen kedua selepas
Melihat Ella semakin bertenaga, semakin kuat penonton menyanyi bersama-sama dengan lagu Bayangan, Layar Impian, Ku Sedia (dari album terbarunya, Peace.Love.Rindu), Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Standing in the Eyes of the World dan lagu encore, Gemilang.
Puas? Tentu sekali tidak! Kalau boleh saya mahu Ella nyanyikan puluhan lagi lagu sepanjang karier beliau yang cukup membanggakan itu. Maaf, saya sedikit emotional sepanjang persembahan Ella. Ada ketika air mata mengalir tanpa sedar. Setiap lagu membawa diri ke masa silam.
Sesungguhnya gubahan muzik orkestra, persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia dan gabungan suara Ella memberikan nafas baru untuk lagu-lagu Ella. Sungguh mengagumkan!
Kami akhiri malam kami dengan makan besar di Jalan Alor bersama Misha Omar, Mimie Omar, Wanda daripada Utusan, Zul Husni daripada Berita Harian dan abang sound engineer yang bertugas pada malam tersebut membincangkan tentang konsert yang cukup hebat dan sekeping cek.
Tahniah Dewan Filharmonik Petronas, tahniah Orkestra Filharmonik Malaysia, tahniah Ahmad Muriz Che Rose dan tentunya tahniah buat ratu rock negara, Ella! You are absolutely the best! Inilah yang dapat saya nukilkan dari hati.