KAW
Jins Shamsuddin Sangat Lantang Dalam Forum Filem, Tidak Pernah Berbaju T Leher Bulat
Pemergian Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin cukup terkesan pada industri hiburan dan perfileman tanah air. Beliau bukan saja dikenali sebagai pelakon membintangi dan mengarah pelbagai filem yang meruntun hati penonton tetapi sumbangan seninya menjadi rujukan pada generasi selepas itu.
Namun, di sebalik kehebatan tokoh seni ini, tidak ramai yang tahu keperibadian sebenar Seniman Negara itu sebagai seorang pejuang seni yang lantang ketika menyertai forum filem di luar negara. Pengalaman berharga itu dikongsi pengkritik filem terkenal, Ku Seman Ku Hussain yang mula mengenali Jins secara dekat selepas menyertai satu program filem di Jakarta pada tahun 1985 yang turut disertai bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr Firdaus Abdullah dan Prof Mustapha Kamal Yassin (Kala Dewata) yang juga bapa Azmil Mustapha.

Ku Seman (kanan) bersama Jins dalam satu majlis makan tengah hari di Cheju, Korea Selatan pada tahun 1997. (Gambar: Ku Seman Ku Hussain - Facebook)
"Pada satu sesi forum, saya turut diminta menjadi panel bersama-sama Jins dan A. Samad Said. Saya pergi atas kapasiti pengkritik filem. Bayangkan dalam usia 25 tahun dan baru setahun berkerja terpaksa berdepan dengan pengkritik-pengkritik hebat dari Indonesia. Pengarah-pengarah hebat juga hadir. Antaranya Teguh Karya yang sedang mengarah filem Ibunda.
"Saya jadi pucat dan gementar. Jins membisikkan kepada saya, Yang mana tak boleh jawab tolak kepada saya. Jins seorang yang sangat lantang di forum-forum filem di luar negara. Dalam program Festival Filem Asia Pasifik, Jins sangat dikenali oleh delegasi dari negara-negara Asia Pasifik. Dia seorang orator yang hebat, berhujah dalam keadaan yang sangat yakin.
"Jins seorang yang sangat menjaga penampilan apabila berada di tempat awam. Sepanjang mengenali Jins lebih 30 tahun, sekali pun saya tidak pernah melihat Jins memakai baju T leher bulat, selipar, menyenteng baju lengan panjang atau baju yang ada cabang di bawahnya dibiar berada di luar seluar. Tidak pernah.
"Jins memiliki bangunan yang dinamakan Studio Panca Delima sebagai mengingati filem pertama dia memegang watak utama, Panca Delima (1957) arahan P. Ramlee. Bangunan itu di tepi Lingkaran Tengah 2 (MRR2) tidak jauh dengan Kompleks FINAS di Hulu Kelang," katanya menerusi Facebook.
Must-Watch Video