Yang itu cakap begini, yang ini cakap begitu. Begitulah hakikat kesimpulan kontroversi membabitkan Aliff Aziz dan Afifah Nasir. Panas beberapa minggu lalu gara-gara kontroversi drama dalam drama yang dilakonkan mereka Izinkan Aku Mencintaimu menerusi produksi Mahligai Serimas diarahkan Manchi (Mansor Akob).

Aliff sebelum ini mengakui kesilapan dirinya terhadap isteri, keluarga, peminat dan seluruh masyarakat gara-gara keterlanjuran sikapnya menjalinkan skandal dengan Afifah di saat Bella Astillah isteri masih belum habis pantang. Tanpa menuding jari kepada sesiapa, penyanyi lagu Sayang Sayang Sayang ini lekas sedar dan enggan mengulangi kesilapan lalu.

Harap semuanya selesai.

Sebaliknya, Afifah pula ketika sidang media diadakan menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Aliff. Apatah lagi dia sudah mempunyai kekasih hati yang dicintai sejak dua tahun lalu bernama Wan Ariff Azhar. Plot cerita menjadi lebih menarik kerana adik kepada pelakon Anzalna itu menyifatkan dirinya menjadi mangsa keadaan kononnya dipergunakan oleh pihak produksi untuk memujuk dan melayan kerenah Aliff bagi melancarkan baki penggambaran drama itu.

Sementara itu, Aliff menerusi kenyataan balas terhadap sidang media Afifah bagaimanapun menyifatkan komennya mengaitkan pihak produksi itu sebagai mengarut dan tak masuk akal.

Mana satu yang betul ini. Siapa yang betul, siapa yang salah. Atau ada yang dilihat cuba menegakkan benang yang basah.

Pengarah nafi pergunakan Afifah.

Cerita kontroversi ini menjadi lebih menarik apabila Manchi menafikan dakwaan Afifah Nasir yang kononnya dia dipergunakan oleh pihak produksi. Katanya lagi, sepanjang penggambaran drama itu tiada arahan seperti yang diperkatakan pelakon baru itu.

"Kami hanya bercakap kosong di kalangan kami seperti bersembang di kedai kopi. Ia bukan perancangan produksi pun.

"Tiada arahan untuk mereka rapat. Soal masalah di set penggambaran itu normal dan tidak boleh dielak. Namun kedua pelakon utama itu memberikan komitmen dan kerjasama baik," katanya.

Ditanya mengenai insiden pergelutan di premis hiburan yang membabitkan Aliff dan Afifah serta Bella Astillah di Cheras pada 27 Julai lalu, Manchi bagaimanapun tidak tahu menahu mengenai hal itu yang dikhabarkan atas urusan produksi.

"Saya tak tahu menahu perancangan di pusat karaoke itu langsung," ungkapnya.

Jadi melihat kepada kenyataan Manchi, jelas dakwaan Afifah itu dilihat seperti diada-adakan. Lalu situasi sebenar melihat Aliff bagai berada di posisi sebenar.

Baca dan hadam.

Aliff sebulat suara menyerahkan sepenuh kuasa kepada masyarakat untuk menilai kontroversi yang melanda dirinya dengan Afifah selepas kenyataan yang dibuat pengarah drama lakonan mereka itu.

Enggan memanjangkan kontroversi yang semakin jelek itu, dia tidak mahu lagi mengulas panjang mengenai perkara itu kerana segala persoalan sudah dijawab.

"Saya rasa rakyat Malaysia sudah penat dengan isu ini. Saya sendiri sudah cakap bahagian saya.

"Saya sudah tak ada apa lagi nak cakap. Menerusi kenyataan pengarah semua orang boleh menilai apa yang sebenarnya terjadi. Pada saya di situ sudah terjawab segala persoalan.

"Saya sendiri pun sudah penat dengan apa yang terjadi," katanya.

Bawa pegawai peribadi.

Ditanya Aliff mengenai kehadiran beberapa orang pengawal peribadi, dia menjelaskan ia bagi menjaga keselamatan diri dan mengelak fitnah di lokasi penggambaran.

"Apabila kekasih Afifah, Wan Ariff, memberitahu mahu membawa pengawal peribadi, saya juga bertindak berbuat demikian.

"Kehadiran pengawal peribadi ini bukan kerana saya takut," katanya.

Pada waktu sama, Afifah tegas mempertahankan kenyataannya seperti sebelum ini.

"Perkara sebegini (rancangan melayan kerenah Aliff) tak semestinya semua kru produksi tahu. Kita buat benda ini sebab nak habiskan penggambaran.

"Isu ke pusat karaoke pula hanya segelintir kru yang tahu," katanya sambil berharap supaya kontroversi ini ditamatkan dengan segera

Aliff, Afifah dan Manchi ditemui di lokasi penggambaran drama itu yang diadakan di Bandar Tun Hussein Onn minggu lalu.