KAW
"Kami Pernah 'Bersama'. Kini Saya Tidak Diberi Nafkah Zahir Dan Batin" – Joy
Kemelut rumah tangga penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun memasuki fasa baharu apabila isterinya, Joy Revfa, menfailkan permohonan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 18 Ogos lalu.
Kata Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, tindakan berkenaan diambil bagi mempertahankan hak serta statusnya sebagai isteri yang sah selepas Hafiz didakwa meragui pernikahan mereka.
“Saya datang ke sini untuk berdamai, bukan mahu bergaduh atau berbalah dengan suami. Apa yang saya lakukan untuk pertahankan hak sebagai isteri dan wanita yang teraniaya. Saya ingin buktikan perkahwinan kami bukan seperti Hafiz katakan.
“Saya kecewa apabila ada yang memperkatakan status pernikahan kami tidak sah. Perkahwinan terdahulu saya berakhir pada 2015, cuma tidak didaftarkan di Malaysia. Hafiz juga maklum mengenai perkara itu kerana dia sendiri yang membuat surat pengesahan perceraian,” katanya.
Joy berkata demikian ketika ditemui di mahkamah syariah di Shah Alam, pagi tadi untuk melengkapkan dokumen permohonan dengan ditemani tiga peguamnya serta beberapa ahli keluarga terdekat.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 61 (3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Sebutan kes dijadualkan pada 14 September depan.
Terdahulu, pergolakan pasangan yang berkahwin pada 1 Mei lalu dapat dihidu media apabila si isteri mula memuat naik status di laman sosial yang memberi bayangan mengenai permasalahan rumah tangga mereka.
Akhirnya ia terungkap selepas Joy yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu membuat ‘karangan’ di media sosial yang seakan menyentuh isu suami isteri hingga Hafiz pula memberi maklum balas di akaunnya.
Lebih menghangatkan keadaan apabila seorang wanita yang mengaku sebagai kakak kepada usahawan kosmetik terbabit juga melakukan tindakan serupa dan berkongi status menempelak tanggungjawab seorang suami hingga mencetuskan tanda tanya ramai.
Joy juga mendedahkan suaminya menyatakan perkahwinan mereka tidak sah pada hari ke 23 pernikahan iaitu selepas kedua-duanya pulang dari berbulan madu serta menjalani penggambaran sebuah program televisyen.
“Tiba-tiba pada 23 Mei lalu, Hafiz membangkitkan perihal berkenaan perkahwinan kami yang didakwa tidak sah dan Hafiz tidak lagi menganggap saya sebagai isteri. Saya tidak diberi nafkah zahir dan batin.
“Pada awal kami berkahwin, hanya enam hari kami tinggal sebumbung. Kemudian pada minggu ke tiga kami berbulan madu. Kami juga pernah ‘bersama’ dan menjalani hubungan suami isteri. Saya hanya berjuang untuk mempertahankan hak saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Hafiz turut dilihat berada di perkarangan mahkamah seawal jam 9 pagi yang difahamkan mahu membuat permohonan sama iaitu membubarkan pernikahan mereka tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana pertindihan permohonan dengan isterinya.
Must-Watch Video