Di saat, Afifah Nasir yang terpalit dengan kontroversi rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah masih berdiam diri. Kakaknya, Anzalna Nasir pula dengan penuh kerendahan hati memohon maaf di atas keterlanjuran katanya kepada pihak yang terasa termasuk Bella sendiri yang dituduh meroyan dek tindakannya datang ke pusat karaoke minggu lalu hingga mencetuskan kontroversi serta sensasi saat ini.

Secara kebetulan, adik Anzalna, Afifah turut berada di tempat kejadian bersama Aliff ketika itu hingga berlaku pergelutan di antara pasangan suami isteri terbabit. Seterusnya menjadi kes polis selepas Bella membuat laporan yang Aliff mengasarinya. Aliff kemudiannya ditahan di dalam lokap selama dua malam di Balai Polis Dang Wangi.

Namun Aliff sejak Sabtu lalu dibebaskan dengan reman polis malah Bella juga memilih untuk menarik aduan yang dilakukan terhadap suaminya itu.

Kakak yang cuba mempertahankan adiknya.

Sebagai kakak, Anzalna ketika itu dilihat seperti mempertahankan adiknya dan ditambah dengan provokasi netizen, pelakon berambut panjang itu mengeluarkan komen berbunyi “perempuan baru lepas bersalin lain sikit perangai, bak kata orang meroyan” di laman Instagramnya. Natijahnya, ia mengundang kecaman netizen.

Lantas, Anzalna bertindak menutup ruangan komen di laman bergambar popular itu.

Semalam, Aliff menerusi sidang media yang diadakan di Crystal Hall, Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong mendedahkan perkara sebenar malah mengaku sudah melakukan kesilapan mengguris hati isteri tercinta kerana bertindak curang selepas keluar bersama Afifah. Penyanyi lagu Sayang Sayang Sayang itu juga memohon maaf kepada isteri, keluarga serta peminat termasuk menuntut Afifah melakukan hal sama dengan mengakui kesilapan yang dilakukan mereka berdua.

Mohon maaf atas keterlanjuran kata.

Baca komen Anzalna di bawah ini.

“Saya dengan penuh kerendahan hati ingin memohon maaf atas keterlanjuran kata kepada semua pihak termasuk kepada pihak sana.

"Mengenai apa yang berlaku, saya harap semua pihak boleh sabar menantikan sendiri kenyataan daripada adik saya,” katanya.

Ulas Anzalna lagi, dia mengeluarkan komen pedas itu didorong oleh provokasi daripada netizen yang tak henti henti mengeluarkan komen berbaur negatif.

Mahu siasat dan tidak lepas tangan.

Sekitar empat hari lalu dia memuat naik imej patung dan kereta polis dengan keterangan memohon pihak luar bersabar dan mahu menyiasat apa sebenarnya yang terjadi membabitkan insiden yang turut membabitkan adiknya. Malah menerusi keterangan gambar itu juga, Anzalna turut menulis jika adiknya bersalah, maka Afifah haruslah bertaubat dan minta maaf.

“Ramai yang mengeluarkan kata kata kurang manis dan biadap di ruang komen di bawah gambar itu. Sebagai manusia biasa, siapa yang akan senyum gembira apabila membaca komen berbaur negatif.

Senang dengan berita Aliff dan Bella berbaik semula.

“Ia jelas menimbulkan kemarahan serta provokasi sesiapa saja yang berdepan dengan suasana itu. Dalam situasi sebegitu, macam-macam boleh jadi hingga saya keluar komen yang tak sepatutnya daripada mulut saya. Saya tutup ruangan komen di Instagram buat masa ini bukan kerana takut tetapi supaya tidak terus larut dengan hal yang terus berpanjangan ini” katanya.

Jelas Anzalna lagi dengan apa yang telah berlaku, dia tidak menyebelahi sesiapa. Malah berita yang diumumkan Aliff dan Bella untuk terus hidup bersama di samping anak tercinta mereka, Mohamad Ayden Adrean yang dilahirkan 8 Julai lalu cukup menyenangkan hatinya.