Dunia seni hiburan tempatan baru-baru ini panas dengan macam-macam cerita menggemparkan membabitkan selebriti tempatan. Selain kisah pernikahan Fattah Amin dan Nur Fazura, ramai yang turut terkesan dan terpukul dengan kisah penderitaan peserta Gegar Vaganza musim keempat, Elyana yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap keempat sejak lima tahun lalu.
Kedukaan yang disimpan lama penyanyi lagu Niat dan Tak Tercapai Akalmu itu benar-benar mengundang kejutan besar buat rakyat Malaysia khususnya yang mengikuti perkembangan dunia seninya sejak zaman remaja lagi.
Namun berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Suami Elyana, Khairul Anuar Husin sendiri khususnya turut terpalit dengan penderitaan isterinya itu.
Bererti jika Elyana kena kuat, Khairul sendiri juga perlu berganda-ganda kuat kerana dialah insan yang paling dekat dengannya.
Awalnya Khairul sendiri sukar menerima kenyataan yang isterinya berdepan dengan beban berkenaan.
“Selama dia berdepan dengan penyakit itu, saya selalu berpesan kepadanya jangan fikir sangat soal sakit. Ajal dan maut itu di tangan-Nya. Saya pujuk hatinya untuk lalui hidup seperti orang biasa.
“Namun hakikat sebenarnya di sebalik ketawa dan senyumnya selama ini, hanya saya sendiri yang tahu betapa dia sendiri tak mampu membendung rasa luluh di hati saat disahkan menghidap penyakit itu. Emosinya memang terkesan. Apatah lagi ketika itu dia baru saja melahirkan anak pertama kami, Cinta Sumayyah.
“Memang perancangan asal dia mahu buat comeback selepas melahirkan anak tapi memikirkan ujian besar itu, dia sendiri jadi celaru. Doktor sendiri maklumkan kanser ini boleh diubati. Tapi hakikatnya kanser tetap kanser.
“Apa yang buat saya tersentuh ialah dia selalu cakap apa akan jadi pada anak kami andai sudah tak ada lagi di muka bumi. Persoalan itu tak mampu saya jawab. Memang dia betul down sangat. Sebagai suami saya hanya mampu berdoa dan terus erat berada di sisinya,” kata Khairul.
Pernah pada satu tahap Khairul sendiri bagai hilang punca dan arah apabila isterinya enggan melakukan rawatan kimoterapi.
“Apa jadi, dia tetap harta saya dunia akhirat yang paling berharga selain anak kami. Tugas saya perlu sentiasa dekat dengannya. Dia sendiri perlu sokongan kami. Selagi ada ikhtiar untuk mencari penawar menyembuhkan kesakitannya, saya sanggup mengharunginya.
“Saya sendiri tidak menyembunyikan penderitaan isteri dengan anak. Sejak usia tiga tahun lagi, masalah itu dikongsi dengan Cinta Sumayyah. Saya juga selalu berpesan kepada Cinta, sebelum tidur, sebaiknya bacakan Alfatihah untuk ibu. Hubungan Cinta dan isteri saya memang erat. Saban malam dia akan memeluk ibunya. Cinta bagaikan mengerti penderitaan ibunya,” katanya.