Merujuk laporan satu portal menyatakan barisan artis terbabit disenarai sebagai artis pro-pembangkang yang diketuai DAP. Dakwaan itu boleh merosakkan imej selebriti terbabit apabila mereka juga didakwa dipergunakan untuk memperbodohkan rakyat atau mendapat imbuhan tertentu untuk memberi sokongan kepada pihak pembangkang.

Bagaimanapun, pelakon Fatiya Latiff antara selebriti dalam foto tersebut menjelaskan pertemuan artis bersama dua tokoh negarawan itu adalah sesi perkongsian membincangkan masalah dihadapi golongan belia berkaitan pengaruh media massa yang boleh mengubah pemikiran masyarakat tanpa mengetahui kesahihan dan ketulusan maklumat diterima.
"Saya tanya Tun, macamana nak tau sama ada fakta yang kita dengar atau baca di media sosial itu betul atau tidak. Banyak sangat sampai boleh buat kita keliru. Tun kata bila nak buat perbandingan, fikir logik pun boleh, kena bijak menilai berita, tak perlu percaya terus dengan apa yang kita dengar, pergi terus pada sumber yang sahih," katanya menerusi Instagramnya.
Selain Fatiya, beberapa artis lain turut kelihatan dalam foto itu yang dirakam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya adalah Rozita Che Wan bersama suami, Zain Saidin, Tasha Shila, Nazril Idrus dan Wak Doyok.