Filem Power Rangers mendapat keputusan Lulus Bersih (LB) daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) selepas didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender Queer (LGBQ) dan diklasifikasikan di bawah tontonan P13.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan tidak timbul isu kelewatan keputusan penapisan bagi filem berkenaan malah tindakan syarikat pengedar menangguhkan penjualan tiket tiada kaitan dengan LPF.

"Filem berkenaan memaparkan jalan cerita mengenai lima rakan yang memperoleh kuasa luar biasa dan bergabung tenaga untuk mempertahankan bumi.

"LPF sudah melaksanakan penapisan filem berkenaan dalam tempoh empat hari bekerja dan ia memenuhi tempoh piagam pelanggan yang ditetapkan iaitu lima hari bekerja.

"Keputusan kelulusan ini sudah dimaklumkan kepada pengedar pada 22 Mac 2017 (semalam)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, filem Power Rangers dijadual ditayangkan di Malaysia bermula hari ini, namun dikatakan ditangguh sementara untuk pertimbangan LPF selepas dikatakan mempunyai unsur lesbian.

Terdahulu, filem Beauty and The Beast tiba-tiba mencetuskan kontroversi di beberapa negara apabila pengarahnya, Bill Condon, memberitahu majalah Attitude, watak Le Fou lakonan Josh Gad ialah seorang lelaki gay.

Kemudian, seorang Ahli Parlimen Russia turut menggesa ia diharamkan tayangannya di negara terbabit tetapi pihak Kementerian Kebudayaannya mengizinkan ia ditayangkan dengan rating 16+.

Di Malaysia, awalnya ia ditangguhkan tayangan selepas pengedarnya tidak berpuas hati dengan suntingan LPF hingga ramai menyelar pihak berkenaan sedangkan adalah keputusan Disney bukannya arahan LPF.

Begitupun, selepas LPF memberikan kelulusan seratus peratus tanpa potongan, akhirnya filem itu akan ditayangkan di pawagam tempatan pada 30 Mac depan.