Sarawak mencatat sejarah apabila ibu negerinya, Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan berkenaan.

Sarawak, Bumi Kenyalang.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ini merupakan pengiktirafan besar bagi Sarawak sekali gus negeri ini sebagai destinasi popular dengan keunikan kraf dan seni reka.

"Kita amat berbangga untuk menjadi negeri pertama di Malaysia dianugerahkan pengiktirafan ini", katanya kepada Utusan Borneo.

Hasil kraf Sarawak mendapat perhatian dunia.

Turut sama dalam senarai Bandar Kraf Dunia ini adalah Jaipur di India, Jogjakarta di Indonesia, Isfahan di Iran dan lebih 30 bandar di seluruh dunia.

Pengumuman rasmi itu disempurnakan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan turut dihadiri Presiden Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik, Dr Ghada Hijjawi Qaddumi pada minggu lalu.

Pengiktirafan itu juga sedikit sebanyak bakal menyumbang kepada kempen Melawat Sarawak 2019 bagi menarik lebih ramai pelancong.

Dalam pelbagai jenis kraftangan yang dihasilkan di Sarawak, ini antara kegemaran kami.

1. Pua Kumbu

Kebanggaan Sarawak.

Tenunan kain pua atau tenunan ikat adalah seni tenunan yang dihasilkan oleh wanita Iban di Sarawak. Ia adalah hasil tenunan daripada benang kapas.

Kain tenunan ini bewarna merah atau coklat tua. Reka an corak yang biasa digunakan ialah anak kunci, lengkar, rombus atau batu berlian.

2. Anyaman Sarawak

Bakul tambok.

Anyaman sarawak begitu halus dan teliti sehingga menjadi perhatian dunia. Antara yang popular adalah bakul tambok. Bakul ini berbentuk silinder, ringan dan menjadi kebanggaan kaum Bidayuh.

Bakul ini diperbuat daripada hasil-hasil hutan seperti buluh, rotan atau damar, daun nipah serta banyak lagi.