Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap pereka grafik, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin atau lebih dikenali sebagai Fahmi Reza atas kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Facebook Fahmi Reza secara sedar dan memulakan penghantaran komen palsu membabitkan pemimpin negara melalui akaun Facebook miliknya dua tahun lalu.

Pereka grafik, Fahmi Reza.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Mohd. Radzi Harun membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Seraya Sdn. Bhd., Batu 3, Jalan Jelapang dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari dan dibaca pada pukul 2.40 petang pada 8 Februari 2016.

Mahkamah mengekalkan sabitan tersebut selepas mendapati keputusan oleh hakim Mahkamah Sesyen Ipoh tepat selepas meneliti keterangan yang dikemukakan oleh pihak peguam tertuduh dan timbalan pendakwa raya.

Dihukum penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

"Jadi, mahkamah membenarkan rayuan dan memerintahkan hukuman penjara selama setahun dan denda RM30,000 dibatalkan dan digantikan dengan hukuman denda sebanyak RM10,000," katanya menerusi Kosmo Online.

Pendakwaan dikendali Ketua Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd. Sophian Zakaria.

Mohd. Radzi turut menasihatkan tertuduh agar menjaga adat dan tatasusila dalam karya-karya kreatifnya serta berkarya untuk tujuan murni.

Fahmi Reza mempunyai pengikut yang ramai di media sosial menjadikan tertuduh perlu mempunyai rasa tanggungjawab tinggi bagi memastikan karyanya dapat memberi kesan positif.

Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan Fahmi Reza dihukum penjara selama enam bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.