Kunjungan Taikun Internet terkenal, Jack Ma ke Kuala Lumpur sempena acara Global Transformation Forum (GTF) baru-baru ini dinantikan ramai rakan niaga dan 'peminat' tempatan yang mahu melihat lebih dekat apakah pandangan dan perancangannya dalam membantu membangunkan ekonomi digital Malaysia.

Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Alibaba Group itu yang dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia pada November tahun lalu akan melancarkan aplikasi Alipay di negara ini iaitu perkhidmatan pembayaran tanpa sentuh yang sebelum ini mempunyai 450 juta pengguna di China dan negara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Jack Ma melancarkan Zon Perdagangan bebas Digital (DFTZ) ketika acara Global Transformation Forum (GTF) di Kuala Lumpur, kelmarin. (Gambar: nst)

Pengenalan aplikasi ini dilihat lebih pantas dan terjamin pada pengguna ketika melakukan transaksi pembayaran. Malah, beliau berpandangan 90 peratus perniagaan beroperasi secara dalam talian dalam tempoh 20 sehingga 30 tahun akan datang, seperti dilaporkan Utusan Online.

Sementara itu, The Star melaporkan Jack Ma bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut melancarkan Zon Perdagangan bebas Digital (DFTZ) kelmarin dan Alibaba bersama bersama beberapa rakan niaga lain terbabit dalam empat segmen DFTZ iaitu 'e-fulfilment hub, e-service platform, e-payment and financing' serta 'e-talent development'.

Jack Ma juga menarik perhatian hadirin apabila menyatakan ucapannya pada acara itu adalah tugas sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia. Beliau berharap ucapannya membuatkan orang lain berfikir dan jika 10 orang mula berfikir secara berbeza, mereka juga akan menjadikan Malaysia suatu yang berbeza. Namun, beliau menyatakan tidak mahu menerima bayaran atas tugas tersebut kerana menyifatkannya sebagai satu penghormatan.