News
"Janganlah Kita Menjadi Ketua Penyiasat, Pendakwaraya, Hakim" - Dr Asyraf
Pelajar Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor iaitu Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang sebelum ini menarik perhatian ramai akibat dakwaan dirotan pembantu warden sekolah itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, tengah malam tadi.
Murid itu meninggal dunia kira-kira jam 2 petang semalam selepas mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Solat jenazah kemudian diimamkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dr Asyraf berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sempurna dan disegerakan agar sesiapa yang didapati bersalah dibawa ke muka pengadilan.
"Kerajaan sesekali tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan pelajar-pelajar Tahfiz hatta di institusi swasta jika didapati wujud sebarang salah laku kelak. Peruntukan undang-undang dan polisi melibatkan keselamatan kanak-kanak yang sedia ada juga perlu dikuat-kuasakan bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini terjamin.
"Walaubagaimanapun sebagaimana yang turut diminta oleh bapa Allahyarham kepada saya untuk disampaikan kepada khalayak awam supaya menghentikan penularan sebarang spekulasi dan andaian sebelum penyiasatan dapat disempurnakan. Ini termasuklah tohmahan liar terhadap pusat-pusat tahfiz.
"Tohmahan dan andaian hanya akan memburukkan keadaan dan meruntun perasaan keluarga Allahyarham. Janganlah kita menjadi ketua penyiasat, pendakwaraya dan hakim sekaligus lantaran hanya berpandukan maklumat di media-media sosial dan hebat menjadi wira papan kekunci.
"Sama-samalah kita menantikan hasil penyiasatan dan keputusan pembedahan forensik kelak. Moga Allah merahmati roh Adik Thaqif serta memberikan ketabahan berterusan kepada keluarga Allahyarham," katanya menerusi Facebook akaunnya, malam tadi.
Must-Watch Video