Majalah The Global Finance menyenaraikan Malaysia pada tangga ke-49 negara paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak 27,234 dolar berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, yang diselaraskan mengikut pariti kuasa membeli (PPP).

Kedudukan tersebut sekaligus menyaksikan peningkatan sebanyak 3.9 peratus dalam KDNK per kapita negara berbanding tahun sebelumnya.

Menerusi pendedahan itu, Malaysia berada di tangga lebih atas berbanding beberapa negara lain seperti Indonesia, Hungary, Greece, Turki, Rusia dan Thailand, selain pada masa sama meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga paling kaya di rantau Asia Tenggara.

Gambar: Malaysian Digest

Negara terdekat Malaysia, Singapura dan Brunei, berada di kedudukan ke-4 dan ke-5 sebagai negara paling kaya di dunia. Namun di peringkat Asia Tenggara, Singapura masih mengekalkan kedudukan sebagai negara paling kaya, diikuti Brunei di tempat kedua.

Qatar, negara yang terletak di semenanjung Arab muncul sebagai negara terkaya di dunia dengan hasil KDNK pada PPP per kapita sebanyak 129,726 dolar, diikuti Luxembourg, sebuah negara Eropah di tangga kedua (101,936 dolar) dan kedudukan ketiga adalah Macau (96,147 dolar).

Manakala tiga negara yang berada pada kedudukan terbawah sebagai negara termiskin di dunia adalah Republik Afrika Tengah (tangga ke-189), Republik Demokratik Congo (188), serta Burundi (187).

Laporan yang dikeluarkan pada 13 Februari lalu, menyenaraikan negara paling kaya dan termiskin di dunia bagi tahun 2016 itu adalah mengikut data yang diperoleh daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pangkalan Ekonomi Dunia setakat Oktober 2016 serta dinyatakan dalam nilai semasa dolar antarabangsa.

Sumber: Malaysian Digest