Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lapan produk kosmetik tempatan mengandungi bahan racun berjadual yang boleh memudaratkan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

"Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan," katanya.

Akibat pendedahan kepada merkuri juga boleh memberi kesan pada orang sekeliling terutamanya bayi dan kanak-kanak yang terhidu produk kosmetik tersebut sebaik disapu pada kulit meruap. Lebih bahaya sekiranya bayi dan kanak-kanak menyentuh produk kosmetik ini dan memasukkan jari mereka ke dalam mulut yang menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

KKM juga memberi amaran pada penjual dan pengedar produk kosmetik ini menghentikan jualan dan pengedaran serta-merta. Di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.