NEWS
Negara Kehilangan Seniman Lagenda
Negara kehilangan seniman lagenda, Tan Sri Jins Shamsuddin, 81, yang menghembuskan nafas terakhir di sebuah klinik di Taman Melawati, Hulu Kelang, jam 5.45 petang tadi.
Allahyarham disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan berikutan sesak nafas selepas menikmati minum petang di rumahnya.
Anak bongsunya, Putera Hang Nadim, 26, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pihak media yang mengetahui berita berkenaan menerusi Facebooknya.
“Ya, ayah saya sudah tiada. Ayah saya mengalami sesak nafas. Jenazah akan dibawa pulang ke rumah sebentar lagi,” katanya kepada wakil media, tadi.
Terdahulu, tokoh perfileman filem Melayu sejak zaman Jalan Ampas, Singapura merangkap bekas Senator itu menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.
Menyelak sejarah perjuangan penerima Anugerah Seniman Negara ini dalam industri seni, bukan sedikit jasa ditinggalkan malah Allahyarham menjadi aktor yang disegani dan dihormati ramai.
Filem pertamanya, Pancha Delima menaikkan namanya di arena seni lakonan selain berada sebaris dengan pelakon lelaki Asia lain menerusi watak Jefri Zain yang juga kegilaan ramai pada era 1970-an.
Aktor yang mendapat gelaran Bond Malaya itu turut gah di arena pengarahan apabila sentuhan majisnya menghasilkan deretan filem yang bagus hingga membuatkan setiap karyanya terus malar segar hingga sekarang.
Siapa mampu melupakan tragedi Bukit Kepong yang diangkatnya ke layar perak? Malah generasi muda juga berpeluang merasai sendiri jerih perih pergorbanan anggota keselamatan negara melawan musuh tanpa rasa gentar dengan penghasilan filem berkenaan.
Antara karya lain yang mengukuhkan lagi kredibilitinya selaku pengarah prolifik adalah filem Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa dan Ali Setan.
Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, serta Hang Jebat, 30 dan Hang Nadim selain Hang Tuah @ Shazrin, 43, iaitu anak hasil perkahwinan beliau dengan seorang wanita bernama Jamilah.
Jins turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Jefri Jins, 55, menerusi perkahwinan pertama dengan pelakon, Rahmah Rahmat.
Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan Hulu Kelang jam 11 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Ridhuan.
Sejak petang tadi kediaman keluarganya tidak putus-putus dikunjungi ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir.
Warga kerja Rojak Daily Kaw! mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Must-Watch Video