NEWS
Pengguna Resah Apabila Coklat 'Nombor 8' Didakwa Tidak Halal
Coklat 'nombor 8' yang popular dalam kalangan kanak-kanak mula menimbulkan keraguan pada pengguna baru-baru ini selepas seorang pengguna media sosial memuat naik gambar coklat itu sambil menyatakan makanan itu mengandungi kandungan yang diperbuat daripada produk babi. Akibat kenyataan tidak berasas itu, ia menjadi tular di media sosial sehingga mengundang tanda tanya.
Dalam satu kenyataan daripada Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini memaklumkan dakwaan coklat dikenali Eyeglass With Candy mengandungi bahan dari sumber haram sebagaimana yang disebarkan pengguna di media sosial adalah tidak benar.

"Salah faham timbul apabila pengguna tidak memerhati dengan jelas label sebenar yang tertera "free from pig's products and its Derivatives". Untuk makluman, coklat Eyeglass With Candy keluaran Goodfood Industries Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.
"Perlu diketahui, proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan. Justeru, jadilah pengguna yang bijak sebelum menyebar dan berkongsi sesuatu isu halal yang tular dengan merujuk pihak berwibawa agar tidak terjebak ke dalam dosa fitnah sesama ummah," katanya.
Bagi orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai status halal produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dinasihatkan melayari direktori halal di www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar, MyJakim.
Must-Watch Video