Susulan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol yang pulang ke negaranya semalam selepas diusir Kerajaan Malaysia kerana diisytihar sebagai 'Pesona Non Grata', kerajaan Korea Utara pula melakukan tindakan balas apabila melarang rakyat Malaysia yang berada di negara mereka meninggalkan negara itu.
Agensi berita KCNA melaporkan arahan itu akan diteruskan sehingga kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un selesai dengan baik. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan rakyat Korea Utara tidak dibenarkan meninggalkan negara ini berkuatkuasa serta merta.
Beliau berkata, langkah yang diambil itu sebagai tindak balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen telah keluarkan arahan serta-merta bahawa tidak ada mana-mana pegawai atau kakitangan yang berada di kedutaan Korea Utara yang dibenar keluar dari semua pintu keluar negara ini," katanya seperti dilaporkan Bernama.