Seramai 11 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Pyongyang, Korea Utara selepas kerajaan negara itu bertindak melarang rakyat Malaysia yang berada di negara mereka meninggalkan negara itu.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Tambahnya, rakyat Malaysia itu terdiri daripada tiga kakitangan kedutaan bersama keluarga mereka. Bagaimanapun, keadaan mereka selamat, tiada ancaman dan dikawal bahagian protokol negara itu, katanya seperti dilaporkan The Star.
Sementara itu, kakitangan Kedutaan Malaysia di Korea Utara dilaporkan bertindak membakar dokumen dan memindahkan barang ke dalam kenderaan selepas kerajaan negara itu mengusir Duta Malaysia, Mohamad Nizan Mohamad. Laporan media Cina juga menyatakan tindakan tersebut adalah prosedur kecemasaan yang dilakukan selepas pengumuman dibuat kerajaan Korea Utara jam 6 petang, semalam.
Media CCTV China pula melaporkan Jalur Gemilang dan bendera Asean berkibar separuh tiang dan tiga kenderaan meninggalkan kedutaan pada pagi ini. Pyonyang sebelum itu meminta Mohamad Nizan meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam sejak jam 10 pagi, Ahad lalu.