Tommy Page, penyanyi pop era 90-an yang pernah berduet dengan artis Malaysia, Amy Mastura, ditemui mati pada Jumaat lalu (3 Mac) di kediamannya di New York.

Penyanyi dengan nama penuh, Thomas Alden Page itu dipercayai membunuh diri di New York. Terkenal dengan lagu I’ll Be Your Everything, penyanyi yang berbakat juga sebagai komposer itu meninggal dunia pada usia 46 tahun.

Malah di zaman kegemilangannya, beliau pernah merakamkan sembilan buah album studio selain turut bertindak sebagai penerbit eksekutif muzik di Warner Bros. Beliau juga pernah menjadi penerbit di majalah Billboard. Tak ketinggalan turut bekerja di Pandora Internet Media sebagai Ketua Kerjasama Muzik, selain menjadi naib presiden di Village Voice.

Selain membentuk kerjaya seninya sendiri, Page juga turut membantu artis lain mencipta nama antara seperti Michael Buble, Alanis Morrisette, Green Day, Josh Groban dan ramai lagi. Pada 2015, Page menghasilkan single berjudul I Break Down 2015. Lagu berkenaan dirakamkan semula dalam versi perlahan dengan judul sama.

Malah dua tahun lalu, Page turut menghadiahkan 18 buah trek lagu menghimpunkan lagu balada terbaiknya dengan judul My Favorites. Malah ia turut memuatkan single I Break Down 2015. Bagaimanapun album itu hanya dijual menerusi laman sesawangnya sahaja.

Page yang dilahirkan di Glen Ridge, New Jersey meninggalkan pasangannya Charlie dan tiga anak angkat mereka.

(Kredit Gambar: Star2.com)

Sementara itu, Amy Mastura yang dihubungi Rojak Daily Kaw! menyifatkan memori duet mereka sebagai satu kenangan manis yang sukar dijual beli.

“Sepanjang pembabitan seni saya, projek duet lagu The Best Part ini memang cukup indah. Bukan senang peluang ini nak datang depan mata. Tapi saya bertuah. Kami merakamkan lagu itu secara berasingan dan hanya bertemu di Phuket ketika menjalani penggambaran muzik video lagu berkenaan.

“Jujur agak terkejut dengan berita pemergiannya. Tapi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik dan peramah,” katanya yang kali terakhir bertemu Tommy Page sekitar dua tahun lalu ketika menjayakan persembahan membabitkan penyanyi antarabangsa itu.