Suatu ketika dulu, mereka yang mempunyai gelaran 'Dr' pada pangkal nama cukup dihormati ramai. Bukan mudah untuk mendapatkan gelaran tersebut yang lazimnya digunakan pada individu yang sudah menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti.

Namun, imej mereka yang bergelar 'Dr' ditempelak ramai gara-gara segelintir pihak menggunakan gelaran itu secara tidak sah atau dalam erti kata lain, membeli PhD menerusi sindiket atau universiti tidak bertauliah.

Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab ini memberi impak negatif kepada golongan akademik yang bersusah payah menyiapkan tesis untuk PhD. Bagi mereka yang berjaya memperolehi PhD dengan cara betul, ia adalah kepuasan tertinggi dalam pencapaian akademik seorang individu itu.

Namun, tahukah anda apakah perkara penting yang perlu anda tahu jika mempunyai impian menyambung pengajian dalam PhD.


BANGGA GELARAN PROFESOR

Tanggapan umum selain gelaran 'Dr', segelintir individu yang mempunyai PhD juga menggunakan gelaran Profesor Madya atau Profesor. Ada yang keliru perbezaan antara ketiga gelaran ini.

Dekan, Fakulti Filem, Animasi dan Teater, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen berkata, PhD merujuk kelulusan akademik manakala gelaran 'Profesor Madya' adalah jawatan mengikut gred gaji mereka yang berkhidmat dalam bidang akademik sama seperti 'Profesor' digunakan individu yang mencapai gred perkhidmatan, JUSA.

"Ramai tidak tahu gelaran Profesor atau Profesor Madya hanya boleh diguna pakai untuk tujuan akademik. Ini bermakna mereka yang masih mengajar meskipun sudah pencen masih boleh menggunakan gelaran tersebut asalkan masih berkhidmat dengan universiti berkenaan," katanya dalam satu pertemuan di UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, gelaran 'Dr' pula boleh digunakan pada individu yang sudah menamatkan pengajian PhD.

"Program PhD boleh dihabiskan selama 3 tahun secara sepenuh masa manakala 6 sehingga 9 tahun untuk pengajian separuh masa," katanya.


BAGAIMANA NAK MULA PHD?

Pelajar PhD perlu memilih tajuk kajian yang tidak dilakukan orang lain.


Ramai yang pernah menjadi graduan tahu, individu yang ingin menyambung pengajian PhD amat penting memilih tajuk dan bidang kajian yang sesuai.

Dr A Razak menjelaskan pemilihan tajuk tidak boleh sama dengan tesis yang pernah dihasilkan individu lain. Namun, kelulusan sesuatu tajuk itu bergantung pada perbincangan antara penyelia dan kelulusan jawatankuasa akademik fakulti.

"Sesiapa saja yang mempunyai sarjana memang layak memohon PhD. Ada 3 jenis PhD iaitu penyelidikan secara penuh, pengajian bercampur (subjek dan penyelidikan) dan seratus peratus subjek serta membuat 'dissertation'. Ada fakulti menawarkan tiga jenis pengajian dan ada hanya satu mod pengajian saja.

"Selepas menyiapkan tesis, pelajar PhD itu perlu melalui proses pemeriksa dalaman dan luar. Selepas itu, pelajar PhD akan melalui proses 'viva voce' iaitu peperiksaan secara lisan yang memerlukan pelajar itu mempertahankan kajiannya," katanya.

Jelasnya, pengajian PhD adalah berkaitan dengan kepakaran dalam bidang masing-masing. Kajian juga boleh buat dilakukan dalam negara mahupun luar negara.

"Pelajar bebas memilih tajuk tesis yang ingin dilakukan manakala penyelia dipilih atas dasar suka sama suka.

"Pelajar dinasihatkan perlu tahu kajian yang ingin dilakukan diikuti proses menghasilkan 'proposal', jenis kajian sama ada kualitatif dan kuantitatif. Perlu dijelaskan apakah objektif kajian, justifikasi dan dapatan yang bakal dirumuskan.

"Di UiTM sendiri, kami menggalakkan pelajar membuat PhD secara penyelidikan termasuk mengambil dua subjek tiada peperiksaan yang merujuk kepada pemahaman cara membuat tesis, penyelidikan dan penulisan. Subjek bermaksud menghadiri kelas berkaitan dengan kajian bukan topik.

"Orang yang membuat kajian adalah individu yang pakar dalam bidangnya. Cara melakukan kajian adalah mengikut cara akademik dan pelajar perlu belajar mengenainya.

"Ia menjadi syarat wajib pada pelajar untuk tahun pertama. Selalunya pelajar yang tidak faham subjek ini akan berdepan masalah sehingga pengajian PhD mereka sangkut," katanya.


HADIR KELAS ATAU GUNA MANUAL BUAT PhD 'FACEBOOK'?

Dr A Razak menjelaskan pelajar PhD perlu mempunyai pengurusan masa yang betul apatah lagi jika bekerja.


Pada zaman sekarang, pelajar PhD lebih mudah menyiapkan kajian mereka hanya membeli buku manual cara menyiapkan tesis yang dijual secara meluas di mana-mana kedai buku termasuk menerusi media sosial seperti di Facebook.

Persoalannya, adakah cara sebegini boleh digunakan atau wujud format berbeza yang mungkin bukan standard tesis PhD sebenar.

Dr A Razak memberitahu lazimnya metadologi kajian dan cara penghasilan tesis ini disediakan setiap universiti yang menawarkan pengajian PhD. Bagaimanapun, bukan menjadi satu kesalahan jika menggunakan manual menerusi buku yang dijual di media sosial.

"Format kajian sama tetapi format penghasilan tesis adalah mengikut 'in-house style' universiti masing-masing. Boleh pilih tesis dalam bahasa Malaysia atau Inggeris tetapi seperti UiTM sendiri lebih menggunakan bahasa Inggeris dalam penghasilan tesis," katanya.

Secara amnya, tajuk tesis seorang pelajar PhD itu tidak diluluskan penyelia kerana berkemungkinan kajian itu pernah ada atau fokus tidak cukup mendalam.

"Lepas siap kajian itu, apakah ia membantu bidang berkaitan. Jika dapatan kajian itu tidak membantu industri apa gunanya seolah seseorang itu mendapat ilmu daripada kajian itu sekadar membaca daripada kajian orang lain.

"Jika ada pencanggahan pendapat antara pelajar dengan penyelia, ia perlu diperjelaskan menerusi 'viva voce'. Kajian pelajar itu dipertahankan bukan dengan air liur tetapi membuktikan sebagai contoh pandangan individu yang ditemubual dalam kajian yang dijalankan.

"Meskipun kita beranggapan ada dapatan daripada kajian tersebut seolah kita semua tahu tetapi persoalannya, adakah wujud sebarang kajian secara akademik mengenainya?," katanya.


KEPENTINGAN 'VIVA VOCE'

Bakal pelajar PhD juga boleh mendapatkan maklumat pengajian bersama Dr A Razak (kanan) dan pensyarah muzik, Azmeer menerusi acara Minggu KaryaOne Bersama Alumni 2017 yang kini sedang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, Selangor.


Ketika memberi cadangan dalam tesis yang ingin dilakukan sehingga pembentangan semasa 'viva voce', ia perlu diperjelaskan apakah kajian tersebut mencapai objektif atau tidak, hipotesis dan dapatan daripada kajian termasuk 'questionnaire' yang dijalankan.

"Memang ada kes pelajar itu sudah menyiapkan tesis tapi 'viva voce' tak lepas. Ada 3 jenis 'viva voce' iaitu lulus dengan 'minor correction' yang diberi tempoh 3 bulan memperbetulkan apa yang tidak dijawab, 'major correction' (diberi tempoh setahun) dan gagal bermaksud kena mula dari awal kajian.

"Biasanya, jika 'in-line' dengan penyelia, tiada masalah. Masa 'viva voce', penyelia tidak boleh bercakap kerana ia dinilai panel luar," katanya.

Tambahnya, cabaran pada pelajar PhD adalah dari aspek pengagihan masa, perlu berdisiplin jika dia bekerja, mendapatkan kerjasama daripada pihak luar untuk melakukan temubual bersama responden dari aspek masa ketika melakukan 'questionnaire'.

"Jika 'questionnaire' berbentuk soal jawab (kuantitatif) manakala kualitatif merujuk 'open question' yang memerlukan pandangan responden secara terbuka dan selepas itu perlu membuat analisa jawapan dan mengagih mengikut kumpulan jawapan.

"Kos pengajian untuk PhD antara RM30,000 sehingga RM60,000 sepanjang pengajian antara 3 sehingga 9 tahun bergantung pada universiti. Ada maksimum pengajian selama 7 tahun seperti di UiTM, jika tidak dapat dihabiskan bermakna dia akan diberhentikan," katanya.