HIBURAN
"Lima Tahun Ni Saya Tempuh Macam-Macam, Baru Lalui Fasa Patah Hati Teruk!" - Aisha Retno
Penyanyi berbakat Aisha Retno muncul dengan sisi berbeza menerusi single bergenre pop rock berjudul Tak Adil. Lagu terbaharu hasil kerjasama Aisha Retno Entertainment dan Faithful Music itu telah dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 27 Julai 2025.
Lagu berkenaan ditulis oleh Aisha sendiri dan digubah juga oleh Aisha bersama adiknya, Radi.
Menurut Aisha, dia kini sedang bersemangat untuk bereksperimen dengan pelbagai jenis lagu. Meskipun agak mencabar, ia dapat memberikan kepuasan kepadanya.
“Ini adalah era untuk saya bereksperimen dengan genre lagu yang berbeza. Pada masa sama, saya sudah lama mengidamkan untuk tampil dengan lagu pop rock. Lebih menambah keterujaan saya, ini merupakan lagu pertama dalam album yang bakal saya lancarkan tidak lama lagi.
"Saya mahu memperlihatkan kebolehan saya membawa genre sebegini, lagipun ramai rakyat Malaysia menyukai lagu-lagu pop rock. Syukur Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan sambutan awal yang diterima daripada peminat setakat ini,” kata Aisha membuka bicara.
Mengulas lanjut, penyanyi berdarah kacukan Malaysia–Indonesia ini menambah, dia ingin menambah kepelbagaian dalam karya lagunya selain memang meminati muzik pop rock yang dihasilkan oleh penyanyi tempatan dan antarabangsa.
“Saya ingin mengembangkan repertoire kerana itulah yang perlu saya lakukan sebagai penyanyi. Selain itu, saya sangat suka dengan beberapa penyanyi pop rock seperti Olivia Rodrigo (Hollywood) dan jika di Nusantara saya meminati Geisha dan Neeta Manis. Bagi saya, kita dapat mengekspresikan kesedihan dan kemarahan yang boleh disatukan dalam sesebuah lagu,” jelasnya.
Broken
Menyentuh tentang penceritaan yang cuba disampaikan dalam karya terbaharunya itu, Aisha akui ia dihasilkan berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.“Sebenarnya ketidakadilan memang banyak berlaku dalam kehidupan seperti dalam pekerjaan, percintaan dan macam-macam lagi. Untuk lagu ini, saya sampaikan kisah cinta dan ketidakadilan yang saya sendiri pernah lalui.
"Selain itu, saya juga baru melalui fasa patah hati yang agak teruk, jadi saya satukan semua rasa amarah dan kesedihan dalam lagu ini. Memang tak adil jika satu pihak saja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” katanya."Sepanjang lima tahun ini, saya tempuh macam-macam dalam industri hiburan. Saya luahkan dengan jujur, ada kejadian yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini, ianya memang tak adil.
Bercerita soal pembikinan pula, Aisha sebenarnya menulis lagu berkenaan ketika hatinya sedang berduka.
“Suatu hari ketika berada di rumah, saya rasa sangat sedih dan marah. Kemudian, ketika masih sedang broken, adik saya Radi panggil saya ajak masuk studio di rumah kami.
"Radi terus menyuruh saya untuk tulis lagu bergenre pop rock sebab saya rasa, dia nampak ekspresi saya yang tengah sedih dan marah ketika itu. Kemudian dalam masa kurang tiga jam, semuanya terluah dalam lagu ini. Syukur Alhamdulillah, penulisan lagu memang sekejap saja mungkin sebab sedang merasakan emosi dan mendalami liriknya. Kemudian untuk proses produksi, barulah ia mengambil masa beberapa minggu,” katanya lagi.
Sejak sebelum dilancarkan secara rasmi, lagu Tak Adil sudah mula mendapat sambutan daripada peminat setia Aisha di media sosial.
“Mungkin sebab saya agak lama tidak muncul dengan produk baharu, kali terakhir pun Ketipak Ketipung versi baharu pada Aidilfitri lalu. Jadi lagu kali ini juga berperanan seperti comeback saya untuk peminat.
"Saya sangat teruja untuk berkongsi lebih lagi lagu selepas ini, cuma buat masa sekarang, saya mahu semua terima lagu Tak Adil ini dahulu.
"Saya gembira melihat peminat memberi sokongan dengan menggunakan potongan audio lagu Tak Adil di media sosial sejak sebelum tarikh pelancaran lagi. Mungkin kerana bait liriknya boleh dikaitkan dengan kehidupan ramai orang,” jelas Aisha.
Must-Watch Video