SKOP
Kisah Gadis Ini Menjaga 25 'Anak Sendiri' Bermula Di Tepi Longkang
Sekiranya anda bertanya kepada sekumpulan orang ramai secara rawak, “Adakah anda seorang yang sukakan kucing?” pastinya jawapan yang paling banyak diterima adalah “Ya!”.
Haiwan comel ini sebenarnya sudah mendapat tempat istimewa di dalam hati manusia sejak sekian lama. Seandainya kita menyingkap sejarah beratus tahun yang lalu, kita akan mendapati bahawa masyarakat Mesir purba menganggap kucing sebagai satu haiwan yang suci.
Masyarakat moden masa kini juga tidak kurang mempunyai perasaan sayang terhadap haiwan tersebut. Mengikut laman sesawang ReelSEO.com, setakat Jun 2015 sahaja terdapat lebih dua juta video mengenai kucing di YouTube.
Laman sesawang yang mengkhusus kepada video itu juga mendedahkan video-video di YouTube tersebut ditonton lebih daripada 25 bilion kali. Ini bermakna, secara puratanya sebuah video mendapat lebih kurang 12,000 tontonan.
Keadaannya di Malaysia juga menunjukkan perkembangan positif. Euromonitor International melaporkan kedai haiwan peliharaan di negara ini mencatatkan nilai jualan tertinggi dalam sejarah pada tahun 2016.
Di sebalik angka besar tersebut, masih lagi terdapat banyak kucing yang dibuang atau dibiarkan berkeliaran tanpa penjagaan. Mujurlah masih ada insan baik hati dan penyayang seperti Akhsanur Hajjar Abd Hanan yang menghulurkan bantuan dan perlindungan.
PERTEMUAN PERTAMA

Tarikh “23 April 2011,” itulah jawapan yang diberikan Akhsanur kepada Rojak Daily Skop! mengenai permulaan kisahnya melihara kucing.
“Masa itu, saya ternampak seekor kucing berusia lebih kurang empat bulan sedang mencari makanan dalam longkang. Namun, setiap kali saya menghampiri kucing tersebut, dia akan lari. Maka saya tinggalkan sahaja makanan di tepi longkang tersebut.
“Walaupun saya meninggalkan makanan, kucing itu masih lari apabila saya menghampirinya dan ini berlarutan sehingga beberapa hari. Ketika itu, hati saya memang sedih mengenangkan dirinya yang masih kecil berada di luar, lebih-lebih lagi ketika hari hujan.
“Syukur, selepas dua minggu, kucing tersebut mula jinak dan membenarkan saya mendekatinya. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk peliharanya di rumah dan saya berikan namanya, Chingy,” cerita gadis yang berkerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat carigali minyak di Shah Alam ini.
KISAH 25 AHLI KELUARGA BARU

Detik pertemuan bersama Chingy hanyalah permulaan buat Akhsanur. Kini, dalam tempoh enam tahun dia sudah memelihara sebanyak 18 ekor kucing dan kebanyakan pada asalnya merupakan kucing liar.
“Dahulu, jumlah keseluruhan kucing yang saya pelihara adalah 25 ekor tetapi tiga telah menghilangkan diri, tiga sudah mati dan satu berpindah milik. Kebanyakan kucing ini adalah kucing yang diselamatkan.
"Mungkin disebabkan rumah saya terletak di hujung jalan, ada orang buang kucing di kawasan berhadapan rumah saya. Ada juga kucing yang seolah ‘melaporkan diri’ dan duduk di hadapan pintu rumah saya sewaktu mereka sakit.
"Contohnya, kucing yang saya beri nama ‘Putih’ berada di depan rumah saya dalam keadaan cedera parah di kaki sehinggakan boleh nampak tulang. Saya bawanya berjumpa doktor haiwan untuk diberikan rawatan kerana kecederaannya memang agak teruk dan mengambil masa berbulan untuk sembuh.
“Kucing bernama ‘Kuin’ pula datang di depan pintu rumah saya bersama-sama dengan anak-anaknya. Kuin ketika itu dalam keadaan tempang di mana tulang kakinya patah dua dan diafragmanya pecah dipercayai akibat dipukul orang yang tidak berperikemanusian.
"Anak-anak Kuin ketika itu berusia dalam lingkungan tiga bulan dan masih lagi menyusu,” ceritanya dengan sayu.
Menurut Akhsanur lagi, pemilihan nama bagi setiap kucing tersebut adalah berdasarkan warna atau ciri unik yang terdapat pada setiap satu dari mereka.
“Ada kucing diberi nama ‘Abu’ kerana warna badannya hitam dan begitu juga dengan ‘Bat’ kerana warnanya mirip kelawar. Ada pula berwarna putih dengan sedikit tompok oren, jadi saya berikan nama ‘Nemo’. Nama ‘Oreo’ pula diberi kerana warna badannya kelabu dan putih macam biskut Oreo,” jelasnya
Menariknya, judul filem terkenal turut dijadikan inspirasi pada nama sebahagian kucing miliknya. Antaranya 'Simba' yang dipilih kerana bulunya yang serupa dengan watak di dalam animasi 'The Lion King'.
Ada juga diberi nama 'Avatar' kerana ia mempunyai kaki yang panjang seperti makhluk di dalam filem arahan James Cameron iaitu Avatar. Nama 'Lilo' pula dipilih memandangkan matanya yang bulat seperti watak di dalam filem animasi Disney, 'Lilo and Stitch'.
“Selain itu, ada yang saya panggil ‘Mon’ sebagai singkatan kepada ‘monyet’ kerana dia terlalu aktif. Ada yang saya beri nama ‘Kenit’ kerana saiznya terlalu kecil berbanding kucing yang lain,” ujarnya.
IKUT PERGI 'HIKING'

Mengikut Akhsanur, kucing juga seperti manusia yang perlukan belaian, perhatian dan meluangkan masa bersama. Malah, dia menganggap kesemua kucing peliharaannya itu bagaikan anaknya sendiri dan akan menangis penuh kesedihan apabila salah satu daripadanya mati.
“Banyak pengalaman yang saya timba dan kisah yang saya lalui bersama dengan kucing-kucing kesayangan saya ini. Setiap satu dari mereka mempunyai perangai mereka tersendiri malah bau mereka pun berbeza.
“Antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan ialah menjaga Chingy sewaktu dia ditimpa penyakit batu karang. Dia terpaksa dibedah separuh badan dan juga pernah luka bernanah di bahagian leher kerana bergaduh dengan kucing liar lain sewaktu bermain di luar rumah.
“Abu pula yang jenis suka temankan saya keluar berjalan. Dia suka ikut sahaja kemana saya pergi. Saya pernah bawa dia berjalan-jalan sampai ke Melaka. Tingkah laku Abu sangat baik ketika dalam perjalanan.
"Jika dia terasa pening, dia akan duduk sahaja di bawah kerusi kereta tetapi kerana saya sudah jarang keluar berjalan sekarang, dia akan ikut saya secara senyap-senyap menuju ke kereta. Selalunya, sewaktu saya hendak pergi kerja, tahu-tahu dia dah ada dekat kereta yang diletakkan agak jauh sedikit dari rumah.
“Dahulu sewaktu kucing tidak banyak dalam peliharan, saya bawa mereka ikut saya pergi 'hiking' tetapi tidaklah jauh sangat, paling jauh pun dekat kawasan Negeri Sembilan," sambungnya.
Secara kasar, Akhsanur menghabiskan sebanyak RM300 sehingga RM350 sebulan untuk memelihara kesemua kucing tersebut dan ini tidak termasuk kos perubatan, vaksin dan ‘neuter’. Keperluan asas yang perlu disediakan termasuk makanan, mangkuk untuk makanan dan minuman, sangkar, tempat membuang najis, ubat kutu, syampu, alat untuk mengangkut, alat permainan dan lain-lain lagi.
KUCING PUN KENA IKUT JADUAL WAKTU

Selain daripada bekerja di pejabat, Akhsanur juga menjalankan perniagaan bakeri yang diberi nama Noonalicious secara separuh masa. Apabila kucing peliharaannya sudah semakin banyak, masa lapang yang dimiliki Akhsanur semakin berkurangan.
“Ada juga beberapa rakan saya kecewa kerana saya tidak dapat ikut mereka keluar berjalan, lepak atau aktiviti lain seperti menonton wayang. Ada antara kucing peliharaan saya masih lagi kecil maka saya perlu berikan masa dan perhatian lebih sedikit terhadap mereka seperti sediakan makan, minum serta membersihkan najis mereka.
“Saya dan mak ada membuat jadual untuk anak-anak kucing yang masih kecil. Jam 6 pagi sehingga tengahari mereka akan makan dan bermain manakala jam 12 tengahari mereka akan tidur dalam sangkar.
"Jam 4 petang mereka akan bermain di luar atau dalam rumah selepas itu jam 7 malam, semua kena masuk balik ke dalam rumah. Kalau ada yang besar sedikit tidak mahu masuk, saya akan cari mereka dan dukung bawak balik masuk rumah. Saya letak dalam rumah untuk elakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku," jelasnya.
Dia juga mengakui terdapat segelintir jiran merungut kerana rumahnya didiami terlalu banyak kucing. Dia ada juga mengiklankan sebahagian kucingnya untuk dipindah milik tetapi tidak ramai yang sanggup melakukannya.
“Mungkin mereka keberatan kerana kos untuk menjaga kucing ini agak tinggi. Namun, saya redha untuk menjaga kesemuanya. Allah dah tentukan mereka semua di bawah jagaan saya.
"Insha Allah ada rezeki untuk kucing-kucing ini walaupun saya bukan orang yang kaya. Andai pada masa hadapan ada tanah kosong, saya teringin buat pusat perlindungan buat kucing liar,” katanya.
Mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya adakah lelaki yang bakal pasangan hidup bagi Akhsanur nanti perlu juga sukakan kucing.
“Syukur sekiranya dapat pasangan hidup yang turut sama sukakan kucing. Bolehlah kami selamatkan dan pelihara lebih banyak kucing tapi seandainya tidak pun tidak mengapa sebab saya bersyukur dengan apa yang ada dan tertulis untuk saya," katanya.
Must-Watch Video