Universiti pertama dan tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) buat pertama kali menyertai lapan universiti Malaysia memasuki senarai World Universiti Rankings 2018 dengan kedudukan 400 teratas.

Senarai muktamad itu adalah daripada 1,000 universiti dari 77 negara seluruh dunia seperti dilaporkan edisi tahunan terbitan Times Higher Education (THE) yang ke-14.

Menariknya, biarpun pertama kali menyertai senarai itu, UM berada dalam kelompok 351-400 berbanding tujuh universiti lain yang menduduki senarai antara 500 ke 1000. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) turut menyertai senarai untuk kali pertama dalam kelompok 501-600 dan 801-1000 masing-masing.
Kedudukan universiti-universiti di Malaysia ini dinilai berdasarkan prestasi akademik yang dicapai. Malaysia adalah salah sebuah negara universiti terkemuka di Asia mempunyai salah satu daripada kadar pertumbuhan terpantas di dunia dalam pengeluaran kertas penyelidikan (walaupun dari asas yang rendah), keupayaan latihan ijazah Doktor Falsafah (PhD) meningkat dan mempunyai dana yang diperlukan untuk melabur dalam sektor pendidikan tinggi.

Jika Malaysia mengambil peluang daripada ciri-ciri ini maka kedudukannya boleh terus dipertingkatkan pada masa akan datang.


OXFORD TERUNGGUL

Di peringkat global, University of Oxford kekal di tempat pertama dalam World University Rankings. University of Cambridge mendaki dua anak tangga untuk naik ke tempat kedua, memintas kedudukan California Institute of Technology dan Stanford University, kedua-duanya di tangga ketiga.

Walaupun Amerika Syarikat terus menguasai ranking universiti dunia, universiti-universiti China juga menunjukkan prestasi akademik lebih baik apabila meraih kedudukan yang lebih tinggi dari tahun ke tahun.

Pengarah Editorial, Global Rankings THE, Phil Baty berkata, ia adalah sesuatu yang hebat untuk melihat Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam senarai itu.

Tambahnya, negara ini telah lama dianggap sebagai salah satu negara universiti terkemuka di Asia dan keputusan tahun ini menunjukkan bahawa ia mula membuahkan hasil.

“Bagaimanapun, ranking kini menjadi semakin kompetitif, dengan beberapa negara Asia yang lain mula melonjak naik dalam senarai. Malaysia perlu memastikan ia dapat mengekalkan pelaburannya dalam universiti jika ingin terus meningkatkan kedudukan globalnya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


POTENSI BESAR

Asia Tenggara telah meningkatkan prestasinya dalam THE World University Rankings pada tahun ini. Singapura adalah negara yang paling menonjol di rantau ini; dua wakilnya masing-masing melonjak naik dua tempat dalam senarai dan mengatasi beberapa universiti berprestij di Amerika.

Indonesia dan Malaysia masing-masing meningkatkan bahagian mereka dalam senarai universiti terkemuka di dunia, masing-masing mempunyai tiga dan lapan universiti (berbanding dua dan tujuh universiti pada tahun sebelumnya).

Institusi pengajian tinggi awam kemegahan Malaysia iaitu UM turut menyertai senarai Top 400. Thailand belum meningkatkan prestasinya tetapi telah melakukan dengan baik untuk tetap berada dalam senarai - hanya satu daripada sembilan institusinya yang telah menurun.

Mengulas lanjut, Phil Baty menyatakan Asia Tenggara memiliki potensi yang besar untuk kejayaan pendidikan tinggi di masa akan datang dan senarai tahun ini menunjukkan bahawa rantau ini sudah memperoleh hasilnya. Walaupun Singapura berada jauh di hadapan berbanding negara jirannya, Indonesia dan Malaysia telah meningkatkan kedudukannya di dalam senarai.

“Dengan populasi belia yang besar dan berkembang serta ekonomi yang semakin meningkat, kedua-dua negara ini mempunyai ciri-ciri yang boleh memberi khidmat kepada universiti mereka dengan baik.

“Negara-negara ini perlu memastikan mereka memanfaatkan ciri-ciri ini dan melabur dalam pendidikan tinggi untuk mengukuhkan kedudukan rantau ini di peringkat dunia,” katanya.